Nuffnang Ads

Wednesday, 26 September 2012

Asal Bajet Dikaitkan Gula-gula Pilihan Raya


Menjelangnya Bajet 2013 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak Jumaat ini telah menjadi inspirasi dan harapan agar ia bersifat mesra rakyat dan dapat mengurangkan pelbagai beban yang dihadapi ekoran keadaan ekonomi sejak kebelakangan ini.
Namun demikian, kecenderungan pakatan pembangkang menjadikan bajet sebagai antara bahan propaganda ibarat satu kebiasaan dan sebagaimana tahun-tahun sebelum ini mereka membuat tuduhan bahawa bajet tersebut adalah antara ‘gula-gula’ kerajaan menjelangnya Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Ahli Parlimen Petrajaya, Datuk Fadillah Yusof menganggap pakatan pembangkang di negara ini tidak matang dalam berpolitik kerana akan terus menolak apa saja yang disajikan oleh Kerajaan Pusat biar pun ianya turut memberi manfaat kepada mereka.
“Tidak kiralah bagaimana rupa bajet yang ada, yang telah lalu dan yang akan dibentangkan pun maka pembangkang bukan saja akan menolaknya tetapi perkara yang baik pun akan dianggap negatif dan dijadikan sebagai bahan propaganda agar ia dianggap buruk oleh masyarakat keseluruhannya,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Pemuda BN Sarawak melihat perlakuan pembangkang bukanlah semata-mata untuk menarik perhatian masyarakat agar bertumpu kepada mereka lantaran ketandusan isu untuk diketengahkan tetapi ia turut mempunyai niat yang tidak baik.
“Pakatan pembangkang mahu memperlihatkan kepada rakyat bahawa kononnya apa saja yang diumumkan, dilaksanakan dan dilakukan oleh Kerajaan Pusat iaitu BN adalah tidak baik dan tidak membawa kebaikan atau apa saja alasan untuk menggagalkannya.”
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat khususnya anggota BN untuk menumpukan usaha ke arah menjayakan agenda kerajaan tanpa menghiraukan apa yang diperkatakan oleh pakatan pembangkang.
“Fokus BN adalah kepada tanggungjawab dan amanah yang telah diletakkan oleh rakyat dan selama ini pun BN tidak pernah menghampakan apatah lagi dalam bajet,” katanya lagi.
Mai Pikiaq Pi: Tak sabar tunggu pengumuman PM masa Bajet nanti.. Harap-harap rakyat marhaen mendapat manfaat...

No comments:

Post a Comment