Nuffnang Ads

Monday 10 September 2012

SOROS BIAYA SUARAM?


Jutawan George Soros dipercayai penyumbang dana terbesar Suara Rakyat Malaysia (Suaram) melalui Suara Inisiatif Sdn Bhd (SISB).

Mendedahkan perkara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya mempunyai bukti berdasarkan dokumen serta perjanjian kedua-dua pihak berkenaan.

Menurutnya, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Amerika Syarikat dipercayai menjadi antara penyumbang dana terbesar Suaram dan mempunyai kaitan dengan Soros. 

“Kami masih di peringkat awal siasatan. NGO terbabit adalah satu daripada dua NGO berpangkalan di Amerika Syarikat yang menjadi penyumbang dana terbesar Suaram. 

“Berdasarkan maklumat, NGO itu dipercayai mempunyai kaitan dengan Soros berdasarkan dokumen dan e-mel (antara kedua-dua pihak),” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Rasah di Politeknik Nilai, di sini, semalam.

Sebelum ini, media melaporkan Siasatan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati wujud keraguan dan kekeliruan dalam dokumen dan penyata kewangan SISB yang membiayai Suaram.

Siasatan juga mendedahkan SISB yang didaftarkan mengikut Akta Syarikat 1965 menyalurkan dana kepada Suaram, didaftarkan sebagai NGO. SISB pula mendapat pembiayaan dana asing sejak 2008 daripada empat sumber antarabangsa iaitu Open Society Institute (NGO di New York), National Endowment for Democracy (NGO di Washington), Southeast Asian Centre for e-Media dan Kedutaan Jerman di Kuala Lumpur.

Mengulas perkara itu, Ismail Sabri menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) menyiasat perkara itu mengikut Akta Penggubahan Wang Haram dan Akta Anti Pengganas 2007 (AMLA) bagi menyiasat serta mengambil tindakan kerana kemasukan wang meragukan.

“SSM boleh menyiasat tapi tidak boleh mengambil sebarang tindakan. Jadi kita minta Bank Negara campur tangan dalam perkara ini dan memberi kenyataan berhubung isu ini segera.

“Malah, Suaram adalah NGO dan bukan syarikat mengikut Akta Syarikat 1965 atau Akta Perniagaan 1956. Oleh itu, Suaram tidak tertakluk di bawah bidang kuasa SSM,” katanya.

Beliau meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengesahkan status Suaram yang dipercayai pertubuhan haram kerana maklumat tidak rasmi pihaknya mendapati ia tidak berdaftar dengan mana-mana pihak.

Media juga sebelum ini melaporkan SSM dikritik beberapa NGO kerana didakwa gagal bertindak terhadap Suaram yang mengaku menerima dana negara asing.

Kritikan itu susulan dakwaan Suaram bukan NGO, tetapi syarikat dikenali SISB.

SSM bagaimanapun mengesahkan SISB berdaftar mengikut Akta Syarikat 1965 sebagai syarikat perbadanan pada 24 Oktober 2001.

Mai Pikiaq Pi: Kerajaan patut mengambil tindakan keras jika Suaram memang terbabit menjalinkan hubungan dengan Soros...

No comments:

Post a Comment