Isu bas Jelajah Merdeka Rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang didakwa telah diserang dengan disimbah cat merah dan cerminnya pula dipecahkan, dilihat sebagai satu lagi taktik lapuk yang digunakan oleh kepimpinan PKR bagi menarik perhatian dan simpati rakyat terhadap parti tersebut.
Menurut bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari, insiden tersebut seolah-olah adalah hasil daripada perancangan mereka sendiri, apabila bas tersebut dengan begitu mudah disimbah cat dan dipecahkan cerminnya seolah-olah ia dibiarkan tanpa sebarang pengawasan.
“Sedangkan, berdasarkan pengalaman saya bersama PKR, setiap kali PKR bergerak untuk mengadakan ceramah, mereka pasti akan menugaskan ahli-ahli mereka untuk mengawal segala peralatan termasuklah khemah-khemah, kerana bimbang disabotaj oleh pihak-pihak tertentu. Dan saya yakin, pengawalan rapi terhadap segala aspek ketika turun padang berceramah seperti mengawal rapi peralatan dan sebagainya masih lagi diamalkan oleh PKR sehingga ke hari ini.
“Sebab itu saya rasa pelik, apakah tidak ada ahli-ahli PKR yang ditugaskan untuk menjaga bas yang baru dibeli mereka itu, sehingga amat senang sekali bagi individu atau kumpulan tertentu menyimbah cat, malah memecahkan cermin bas tersebut.
“Jika benar ia disabotaj, saya yakin ahli-ahli yang bertugas mengawal rapi bas tersebut akan dapat menangkap individu atau kumpulan yang melakukan perkara tersebut, atau sekurang-kurangnya menyebabkan niat mereka untuk mensabotaj bas tersebut terbantut, ” ujar beliau lagi.
Justeru itu, beliau berpendapat dalam isu sabotaj bas Jelajah Kemerdekaan Rakyat yang cuba digembar-gemburkan oleh PKR itu, ianya lebih kepada isu yang diada-adakan bagi menarik simpati rakyat dalam usaha mereka untuk menimbulkan kebencian khususnya terhadap UMNO.
Jelasnya lagi, beliau yakin rakyat juga sudah sedia maklum bahawa sebelum ini juga telah timbul beberapa isu seperti isu racun arsenik dan juga ugutan bunuh terhadap Penasihat PKR, yang sehingga ke hari ini tidak dapat dibuktikan secara jelas siapa dalangnya, biarpun Anwar secara terang-terang mendakwa bahawa UMNO dan BN terbabit dalam isu tersebut.
“Maklumlah dengan populariti PKR dan Pakatan Pembangkang yang kini semakin merosot ekoran rakyat sudah mula melihat tembelang mereka yang pecah satu demi satu, maka hari ini mereka terpaksa mencari satu isu untuk dipublisitikan bagi menarik kembali simpati rakyat terhadap mereka.
“Namun bagi saya, ia hanya satu strategi lama yang masih lagi diguna pakai oleh PKR yang kini dalam keadaan terdesak, memandangkan mereka kini tiada lagi isu untuk dijadikan modal bagi menghentam Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO, apatah lagi dalam keadaan sokongan rakyat yang dilihat semakin meningkat terhadap kepimpinan negara yang sedia ada hari ini,” tegas beliau.
Mai Pikiaq Pi: MPP percaya akan ada lagi isu yang akan dibangkitkan oleh pembangkang dan setelah itu akan menyalahkan BN sebagai dalangnya.....
No comments:
Post a Comment