Nuffnang Ads

Friday 18 May 2012

Rasuah: SPRM Diminta Siasat, Guan Eng Patut Letak Jawatan


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menjalankan siasatan terhadap pendedahan Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berhubung tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang cuba merasuahnya supaya tidak meninggalkan parti itu seperti yang dilaporkan media.
Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang, Zabariah Wahab berkata apa yang dilaporkan itu adalah suatu yang serius dan pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan mengenai perkara itu dan mengambil tindakan kerana perkara itu membabit pemimpin negeri.
“Ini sesuatu yang serius, perkara seperti ini tidak boleh dibiarkan, SPRM perlu mengambil tindakan, dan saya diberitahu ada pihak sudah membuat laporan polis, saya berharap siasatan ini dijalankan segera kerana membabitkan pemimpin besar.
“Dalam perkara ini, Guan Eng harus meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, perbuatan yang cuba dilakukan kepada Tunku Abdul Aziz sungguh memalukan, beliau tidak layak untuk menjadi Ketua Menteri,” katanya kepada UMNO-Online hari ini.
Menurutnya, sebelum ini Guan Eng sering menuduh UMNO dan Barisan Nasional melakukan rasuah tetapi sebaliknya yang berlaku berbeza dengan apa yang diperkatakan iaitu bahawa kerajaan pimpinan DAP adalah sebuah kerajaan yang berintergriti dan bersih daripada rasuah.
“Ini yang dikatakan pemimpin yang pandai bercakap tetapi tidak mampu melaksanakannya, malah diri sendiri sanggup melakukan perbuatan itu hanya untuk kepentingan politik, ini adalah perbuatan mereka yang terdesak.
“Jika benar apa yang dikatakan Tunku Abdul Aziz, tindakan Guan Eng itu adalah untuk memastikan Tungku Abdul Aziz terus berada dalam DAP, tujuannya adalah untuk mendapatkan sokongan pengundi Melayu kerana Guan Eng pernah menyatakan bahawa beliau tidak risau dengan sokongan pengundi bukan Melayu di Pulau Pinang terhadap DAP dan pembangkang,” katanya.
Zabariah yang juga Adun Bertam berkata tindakan Guan Eng itu menunjukkan pembangkang di Pulau Pinang terutamanya DAP merasa tidak selamat sehingga terpaksa melakukan apa sahaja termasuk membeli pemimpin yang boleh menguatkan sokongan pengundi kepada mereka.
Menurutnya, jika perkara sebegini berlaku kepada UMNO dan Barisan Nasional, sudah pasti pemimpin pembangkang akan membuat pelbagai kenyataan yang mengesa pihak berkuasa mengambil tindakan, tetapi sehingga kini tiada suara yang didengari daripada mereka mengenai perkara itu.
“Ini wajah pembangkang yang sebenar, bukan sahaja pandai membuat janji malah mereka ini hanya pandai bercakap tetapi tidak mampu melaksanakan, jelaslah apa yang berlaku itu menunjukkan betapa kotornya perjalanan politik pembangkang yang begitu terdesak untuk berkuasa,” katanya.

No comments:

Post a Comment