Nuffnang Ads

Tuesday, 15 May 2012

Pas Sepatutnya Sudah Tinggalkan Pakatan Pembangkang – Khairy


Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin membidas sikap dan pendirian parti Pas yang tidak mampu berbuat apa-apa, biarpun sudah beberapa kali Presiden dan pendirian parti tersebut dikritik oleh Pengerusi DAP, Karpal Singh termasuk dalam isu berkenaan kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkenaan pindaan perlembagaan Islam sebagai agama rasmi baru-baru ini.
Menurut beliau, sekiranya Pas mempunyai maruah, sepatutnya parti itu sudah mengambil keputusan untuk keluar daripada Pakatan Pembangkang kerana jelas, DAP langsung tidak menghormati pendapat dan pendirian parti tersebut.
“Tetapi hari ini Pas masih lagi bersama-sama dengan Pakatan Pembangkang biarpun sudah beberapa kali pendirian Presiden mereka sendiri disanggah dengan kata-kata yang agak keras terutamanya daripada DAP.
“Ini menunjukkan bahawa Pas sanggup berbuat apa saja demi kuasa, sehingga sanggup menggadai prinsip perjuangan dan maruah parti mereka.
“Hari ini sudah sampai satu tahap di mana DAP dengan begitu jelas menghina dan mempertikaikan mereka, dan saya nampak seolah-olah Pas sudah tidak ada maruah lagi. Ini bukan soal perbalahan mengenai sesuatu isu tertentu saja tetapi ini sebenarnya lebih kepada soal maruah dan keberanian sesebuah parti, “ tegas beliau ketika ditemui di Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, Ahad.
Kata beliau, dalam keadaan hari ini di mana Pakatan Pembangkang masih belum berkuasa, DAP dengan jelas memperlihatkan tanggapan mereka kepada parti ini dengan sewenang-wenangnya menyangkal dan mengkritik pendirian Pas secara terbuka.
“Saya kira ahli Pas haruslah bermuhasabah diri. Kalau sekarang ini sudah begini layanan DAP kepada mereka, bagaimana pula sekiranya mereka memenangi pilihan raya, sudah tentu lebih teruk layanan DAP kepada Pas.
“Pastinya Pas akan menjadi satu parti yang hanya menjadi rakan kongsi kecil dalam pentadbiran negara malah saya yakin bahawa ketika itu pandangan Pas langsung tidak akan diambil kira dan langsung tidak akan diendahkan oleh DAP,” ujar beliau.
Tambahnya lagi, beliau agak sangsi dengan kesungguhan dan semangat juang ahli Pasuntuk membela agama, bangsa dan negara, apabila mereka hanya mampu bersuara di dalam akhbar sahaja, dan tidak mampu untuk membuat satu keputusan yang memperlihatkan kekuatan dan keteguhan pemimpin dan ahli Pas dalam membela prinsip perjuangan parti tersebut.
“Hari ini jelas mereka dihina, dipijak dan dipertikai oleh DAP berkali-kali , sama ada Karpal Singh atau siapa saja daripada DAP, namun sejauh mana ahli dan pemimpin Pas sebagai pendukung perjuangan parti itu harus bersabar, sedangkan nama baik parti, perjuangan mereka dihina dan dipijak dengan begitu mudah sekali oleh DAP.
“Bahkan DAP langsung tidak menunjukkan rasa hormat mereka kepada Pas dengan membuat kenyataan secara terbuka biarpun yang DAP kecam atau kritik itu ialah pemimpin nombor satu mereka.
“Saya menyeru rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu agar tidak mengundi Pas, memandangkan sekiranya ditakdir mereka berkuasa, bagaimana pemimpin dan ahli parti tersebut mampu untuk memuliakan agama, membela bangsa mereka dan mempertahankan tanah air mereka untuk membela sedangkan untuk mempertahankan prinsip perjuangan parti mereka sendiri pun tidak berani, “  ujarnya lagi.

No comments:

Post a Comment