Nuffnang Ads

Thursday, 17 May 2012

Cubaan Rasuah Jawatan, Wang Ringgit DAP Kepada Tunku Aziz Jijik, Memalukan


Tindakan bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim mengisytiharkan keluar dari parti itu ternyata memberikan satu tamparan hebat kepimpinan parti tersebut.
Apatah lagi hari ini,  Tunku Abdul Aziz di dalam akhbar The Star telah mendedahkan sebab sebenar mengapa beliau mengambil keputusan itu,  iaitu kerana cubaan merasuahnya dengan jawatan dan wang ringgit agar menarik balik keputusannya untuk meninggalkan parti yang dibuat oleh Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Selama ini, umum menyangka bahawa tindakannya meninggalkan parti tersebut adalah ekoran jawatan senator yang disandangnya itu  tidak akan disambung,  ekoran kenyataan beliau yang tidak bersetuju dengan demonstrasi Bersih 3.0 yang dilihat bercanggah dengan pendirian DAP.
Mengulas isu tersebut, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pendedahan Tunku Abdul Aziz itu sudah cukup untuk membuktikan bahawa puak pembangkang, terutamanya DAP yang konon-kononnya mementingkan intregriti dan anti rasuah itu, hanya pandai menuduh UMNO sebagai parti rasuah, sedangkan mereka sendiri mengamalkannya.
“Tambahan pula, tawaran berbentuk rasuah itu datang daripada pemimpin tertinggi parti itu sendiri iaitu Lim Guan Eng. Ini menunjukkan DAP dan parti pembangkang lain bercakap tak serupa bikin. Selama ini mereka sibuk menuduh orang lain rasuah, sedang mereka sendiri mengamalkan rasuah,” tegas beliau hari ini.

Namun, ini amat berlainan sekali dengan pendekatan yang diambil oleh kepimpinan UMNO dalam menangani isu rasuah. Kata beliau, UMNO tidak pernah melindungi mana-mana pemimpin mereka yang terlibat dalam isu rasuah dan ini terbukti, apabila beberapa pemimpin tertinggi UMNO pernah didakwa di atas penyelewengan kuasa dan rasuah.
“Justeru itu, saya minta agar Tunku Abdul Aziz membuat laporan polis atas salah laku Setiausaha Agung DAP itu yang cuba menyogoknya dengan jawatan dan duit supaya tidak keluar daripada parti. Ini merupakan rasuah politik serta satu penghinaan buat dirinya sendiri dan  ia sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan.
“Sekiranya amalan rasuah seperti ini berleluasa di dalam DAP, apatah lagi apabila ia melibatkan pemimpin tertinggi parti tersebut, ini jelas memperlihatkan DAP tidaklah sebersih mana seperti dakwaan mereka selama ini dan seringkali menuduh orang lain kotor dan mengamalkan rasuah belaka,” bidasnya lagi.
Menurutnya, perbuatan Lim Guan Eng yang cuba memberi rasuah politik berbentuk imbuhan wang ringgit dan jawatan kepada Tunku Abdul Aziz itu merupakan satu perbuatan kotor, jijik  dan hina serta semakin menyerlahkan wajah sebenar DAP seperti mana bak kata pepatah Melayu, kokok berderai-derai tetapi ekor bergelumang tahi. 

No comments:

Post a Comment