Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, H.E Chai Xi beranggapan bahawa rakyat negara ini wajar berbangga dan berasa bertuah kerana memiliki kerajaan yang sangat prihatin terhadap permasalahan rakyat serta sentiasa memperbaiki pentadbiran melalui pelbagai program dan agenda terancang.
“Sepanjang berada di negara ini saya dapat merasai kemesraan kerajaan dalam memberikan layanan kepada rakyat semua peringkat tanpa mengira bangsa atau agama biarpun negara ini adalah masyarakat yang pelbagai kaum,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kunjungan hormat kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn, hari ini.
Chai Xi yang mula berkhidmat di Malaysia sejak tahun 2010 amat memahami tanggungjawab yang digalas oleh UMNO bersama-sama Barisan Nasional (BN).
“Sebelum ini saya pernah bertugas di beberapa negara luar termasuklah Bangladesh tetapi Malaysia adalah negara terbaik yang saya temui apatah lagi kerajaannya mempunyai perancangan, misi dan visi bukan saja untuk rakyatnya tetapi untuk melihat negara ini menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020,” katanya.
Jelas beliau, rakyat sewajarnya dapat membuat penilaian dan menghargai kesejahteraan, keselamatan dan keamanan yang dinikmati serta perlu menyokong setiap usaha yang dijalankan demi kesinambungan berterusan.
“Tidak ada kerajaan yang memberikan pendidikan percuma kepada rakyatnya sebagaimana Malaysia, memberi subsidi, sumbangan kewangan kepada golongan berpendapatan rendah, kemudahan asas diutamakan dan pengangkutan awam dipertingkat,” katanya.
Beliau yang diiringi Setiausaha Politiknya, Shen Minjuan turut memaklumkan berkaitan delegasi dari Parti Komunis China (CPC) yang berminat untuk mengadakan pertemuan langsung dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Jun ini.
“Diharapkan dengan kunjungan tersebut akan dapat meningkatkan lagi hubungan dua hala bukan sahaja antara CPC dan UMNO tetapi dalam ruang yang lebih besar iaitu antara dua nagara Asia, China-Malaysia,” terangnya.
Dalam ucapan balasnya, Tengku Adnan turut menghargai hubungan antara UMNO-CPC dan berbesar hati untuk menerima kunjungan daripada delegasi terbabit kerana ia akan dapat memainkan peranan yang lebih besar kepada masyarakat keseluruhannya.
No comments:
Post a Comment