Semakin lama, isu kabinet bayangan pakatan pembangkang semakin menyepi. Pembangkang sendiri seakan 'melupakan’ isu ini malah berharap rakyat juga terus berdiam diri agar tidak terus mendesak mereka mengemukakan kabinet bayangan.
Sebelum ini, pakatan pembangkang pernah menyuarakan bahawa mereka sudah mempunyai kabinet bayangan yang akan dikemukakan sekiranya mendapat kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) malah Bendahari DAP, Fong Kui Lun pernah mengatakan mengenai barisan Kabinet bayangan pihak pembangkang adalah terdiri daripada Ketua DAP di Parlimen, Lim Kit Siang; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat PKR, Anwar Ibrahim ialah ‘Perdana Menteri bayangan’.
Namun, apabila didesak untuk mengemukakan anggota yang bakal menduduki jawatan dalam kabinet bayangan ini, mereka terus membisu dan membiarkan isu ini terus sunyi tanpa ada sebarang jawapan.
Menurut Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) Negeri Selangor, Tan Sri Dr. Abu Hassan Omar, pakatan pembangkang sebenarnya tidak serius malah sedar bahawa mereka tidak mampu untuk menjadi kerajaan pada PRU13 akan datang kerana itu semua adalah fatamorgana yang belum tentu akan menjadi kenyataan.
“Mereka tidak mampu untuk buat kabinet bayangan ini. Cakap mereka hanya tin kosong seperti yang pernah Perdana Menteri katakan, mereka hanya pandai berjanji tetapi tidak pandai menepati.
“Sebenarnya, kabinet bayangan ini adalah satu kebimbangan buat pakatan mereka kerana mereka tidak ada kata sepakat. Masing-masing mempunyai kepentingan tersendiri. Kabinet bayangan ini akan mengundang malapetaka buat mereka dan mampu memecahbelahkan antara pakatan pembangkang.
“Sekiranya mereka menamakan kabinet bayangan ini, siapa sebenarnya yang akan mereka lantik? Perdana Menteri Bayangan yang digambarkan adalah Anwar Ibrahim tetapi jawatan lain? Sudah tentu DAP ingin meletakkan orang mereka dan begitu juga dengan Pas dan PKR sendiri,” ujarnya lagi.
Apa yang pasti, ketiga-tiga parti ini akan terus menjadi parti ‘kaum kerabat sendiri’ malah tidak hairan sekiranya kabinet bayangan juga sebegitu.
Ini kerana, Anwar adalah Penasihat Umum PKR, isterinya Wan Azizah Wan Ismail menjawat Presiden manakala anaknya Nurul Izzah adalah Naib Presiden PKR sementara Kit Siang yang pernah menjadi Pengerusi DAP mewariskan kepimpinannya kepada Lim Guan Eng yang menjawat Setiausaha Agung sementara menantunya iaitu isteri kepada Guan Eng, Betty Chew pula adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana di Melaka.
Selain dikuasai keluarga Kit Siang, DAP juga dikuasai keluarga Karpal Singh di mana Karpal adalah Pengerusi DAP, anaknya Gobind Singh Deo merupakan Setiausaha Biro Guaman Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Puchong dan seorang lagi anaknya, Jagdeep Singh Deo adalah Adun Datuk Keramat, Pulau Pinang.
No comments:
Post a Comment