Nuffnang Ads

Monday, 14 May 2012

PARLIMEN TAK MUSTAHIL DIBUBAR DALAM WAKTU TERDEKAT


MENJELANG PRU 13 - PARLIMEN
MENJELANG PRU 13 - PARLIMEN
Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali yakin Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) tidak mungkin akan berlangsung bulan depan, tetapi pada masa yang sama tidak akan terkejut jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memutuskan untuk membubarkan Parlimen minggu ini.

“Saya sendiri sudah terima notis persidangan Dewan Rakyat (akan datang) bulan lepas, jadi tidak mungkin berlaku pilihan raya dalam masa terdekat,” kata beliau yang juga Presiden Perkasa.

Tambah beliau, agak mustahil PRU13 berlangsung Jun ini kerana Najib akan berlepas ke Washington malam ini untuk bercuti.

“Pada perkiraan saya, pilihan raya akan berlangsung September ini. Terdapat dua kemungkinan pilihan raya diadakan selepas Aidilfitri atau selepas Hari Raya Korban,” kata beliau.

“Bagaimanapun pihak saya tidak akan terkejut jika Parlimen dibubar minggu hadapan (ini) kerana daripada segi logiknya pihak Umno dan Perdana Menteri, saya kira sudah cukup bersedia untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang,” tambah beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan berkata, tidak mustahil jika PRU  diadakan bulan depan.

“Saya dapat lihat yang Perdana Menteri telah memulakan program transformasi rakyat dan turun padang untuk bermesra dan menyumbang bantuan kepada rakyat yang memerlukan,” ulas beliau.

“Melalui cara dan sokongan yang diterima Perdana Menteri, saya yakin PRU akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, Perdana Menteri juga mengeluarkan kenyataan Jumaat lalu, yang beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah ‘esok’, jadi segala kemungkinan mengenai pilihan raya mungkin akan menjadi kenyataan.

“Saya juga melihat melalui sokongan padu ratusan ribu rakyat semasa perhimpunan ulang tahun Umno ke-66 di Bukit Jalil baru-baru ini begitu tenang dan berjalan tanpa ada sebarang insiden tidak diingini,” katanya.

Bekas ahli PKR ini berkata, beliau juga sudah bersedia untuk menghadapi PRU13.

“Saya juga sudah bersedia menyediakan jentera pilihan raya yang cukup untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang.

“Saya tidak terkejut jika PRU diadakan dalam masa terdekat kerana saya sentiasa berada di sisi rakyat dan sudah cukup bersedia,” tambah beliau.

No comments:

Post a Comment