Nuffnang Ads

Thursday 10 January 2013

Isu Kalimah Allah: NGO, Ahli Akademik dan Ilmuan Islam Bidas Keputusan Pas


Beberapa badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan juga ilmuan Islam membidas tindakan kepimpinan Pas yang membuat kenyataan bersama-sama kepimpinan Pakatan Pembangkang yang lain bersetuju bahawa nama Allah boleh digunakan oleh penganut bukan Islam di negara ini.
Presiden Ikatan Kebajikan dan Dakwah Selangor (IKKDAS), Ustaz Rosdi Long berpendapat bahawa perbincangan yang dibuat oleh kepimpinan Pakatan Pembangkang, yang dihadiri oleh kepimpinan Pas itu merupakan satu perbincangan politik dan bukanlah perbincangan mengenai soal-soal akidah yang menjadi teras dalam Islam.
“Sudah saya nyatakan beberapa kali bahawa isu kalimah Allah ini adalah isu akidah. Ianya bukan isu politik. Jadi di Malaysia, penggunaan nama Allah secara rasmi oleh mereka yang bukan Islam, dilihat tidak menambahbaikan keadaan, bahkan akan mewujudkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat dan seterusnya boleh menimbulkan ketegangan memandangkan pemahaman yang amat berbeza daripada sudut akidahnya,” tegas beliau di sini hari ini.
Manakala bekas Naib Presiden Pas, Dato Nakhaie Ahmad menyifatkan kepimpinan Pas tidak faham bahawa perlunya melihat realiti masyarakat setempat sebelum membuat sebarang  keputusan berkenaan agama Islam, khususnya dalam isu penggunaan kalimah Allah ini.
“Kita tak boleh sewenang-wenangnya untuk buat sebarang keputusan tanpa melihat realiti sebenar masyarakat di negara ini. Kita tak boleh samakan Malaysia dengan negara-negara luar seperti Indonesia atau pun negara-negara Arab.
“Penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain jelas dapat menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat di negara ini dan bertentangan dengan perlembagaan negara. Jadi, perkara tersebut tidak boleh diguna pakai di negara ini kerana ia boleh menimbulkan fitnah dan kekeliruan dalam kalangan rakyat di negara ini,” jelas beliau.
Selain itu,  Deputy CEO for Student Affairs di Al-Madinah International University, Shah Alam, Dr. Fadlan Mohd Othman berkata, isu penggunaan nama Allah ini perlu dilihat daripada dua sudut, iaitu daripada sudut ilmiah dan realiti masyarakat di negara ini.
“Jika kita lihat daripada sudut ilmiah secara umum, ia tidak ada masalah tetapi jika dilihat daripada sudut realiti di negara ini, penggunaan nama Allah secara rasmi oleh penganut bukan Islam akan menimbulkan kekeliruan dan huru-hara di dalam masyarakat di negara ini.
“Dalam realiti masyarakat Malaysia hari ini, nama Allah hanya boleh digunakan untuk agama Islam saja. Sebelum ini pun, kita tak pernah mendengar mana-mana pengikut agama lain yang memanggil Tuhan mereka dengan nama Allah di dalam negara ini.
“Jadi sekiranya kita bersetuju untuk memberikan kebenaran kepada penganut agama lain untuk menggunakan nama Allah merujuk kepada Tuhan mereka, maka ia boleh menimbulkan kesan yang tidak baik terhadap keamaman negara, memandang realiti masyarakat dan perlembagaan di negara ini amat berbeza dengan negara-negara lain,” jelasnya.
Menurut pensyarah di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Amini Amir Abdullah berpendapat bahawa keputusan yang dibuat oleh kepimpinan Pakatan Pembangkang termasuk kepimpinan Pas berhubung isu penggunaan kalimah Allah merupakan satu penghinaan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan.
“Majlis Fatwa Kebangsaan telah pun menetapkan keputusan dan kepimpinan Pakatan Pembangkang sepatutnya menghormati keputusan tersebut. Namun jelas, mereka, terutama kepimpinan Pas menidakkan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dan tunduk kepada kehendak DAP yang membangkitkan kembali isu ini.
“Keputusan ini dibuat hanyalah berdasarkan kepentingan politik semata-mata dan bukannya memikirkan tentang soal-soal akidah dan kepentingan umat Islam dan negara secara amnya,” jelasnya.
Mai Pikiaq Pi: Penggunaan kalimah Allah di negara ini bakal menimbulkan pelbagai masalah dalam kalangan rakyat yang berbilang agama.... 

No comments:

Post a Comment