Nuffnang Ads

Monday 21 January 2013

Kenyataan Azmin bukti kecelaruan kepimpinan Pakatan Pembangkang


Kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali bahawa Pakatan Pembangkang akan terus berpegang kepada keputusan membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada penganut Kristian memperlihatkan betapa bercelarunya perpaduan dan kesepakatan yang wujud di dalam gabungan parti pembangkang tersebut.
Menurut bekas Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Hidayat Mohd Shariff berkata, ini merupakan masalah yang paling kritikal di dalam Pakatan Pembangkang di mana ketiga-ketiga parti sering bercanggah pendapat dalam menangani isu-isu yang timbul.
“Saya tidak terkejut dengan kenyataan Azmin. Memang ketiga-tiga parti di dalam Pakatan Pembangkang tidak pernah sepakat dan sekata dalam menghadapi sebarang isu yang timbul. Kita sudah lihat banyak contoh yang berlaku sepanjang pemerintahan mereka di beberapa buah negeri selama empat tahun kebelakangan ini.
“Jika dalam hal-hal sebegini pun mereka tidak boleh bersepakat, bagaimana mereka mahu bersepakat untuk membina dan mentadbir negara? Sudah tentu akibat ketidaksepakatan mereka sesama sendiri, pentadbiran negara akan bertambah caca marba akibat perbalahan pendapat sesama sendiri. Inilah masalah utama Pakatan Pembangkang,” tegas beliau di sini hari ini.
Beliau juga menjangkakan bahawa ahli-ahli dan kepimpinan Pas juga terbahagi dua di mana satu puak akan menyokong kenyataan Azmin manakala satu puak lagi akan mempertahankan keputusan Majlis Syura Ulama Pas.
“Pas perlu sedar bahawa di kalangan kepimpinan mereka ada pengikut-pengikut tegar Anwar Ibrahim. Selama ini, sememangnya Anwar telah meletakkan orang-orangnya untuk meliberalkan Pas dan juga akan menenggelamkan suara majlis syura ulama Pas.
“Kenyataan Azmin itu sudah cukup untuk menggambarkan penolakan terhadap keputusan Majlis Syura Ulama Pas dan saya yakin kenyataan Azmin itu keluar setelah mendapat restu dari kepimpian tertinggi PKR,” tegas beliau.
Justeru itu beliau menyeru rakyat, khususnya ahli-ahli PKR dan Pas agar membuka mata supaya tidak tertipu dengan permainan politik kepimpinan di dalam ketiga-tiga parti tersebut.
“Apa yang jelas, mereka tidak pernah sepakat. Tanpa kesepakatan, bagaimana kita mampu untuk mentadbir negara dengan baik? Mereka lebih banyak menghabiskan masa berbalah sesama sendiri untuk menegakkan kepentingan politik parti masing-masing, sehingga mengabaikan rakyat yang telah memilih mereka sebagai wakil rakyat dan kerajaan,” ujarnya.
Mai Pikiaq Pi: Jangan politikkan agama!!!  

No comments:

Post a Comment