Nuffnang Ads

Thursday, 4 July 2013

Malaysia mahu isu Laut China Selatan ditangani secara dialog

Malaysia menegaskan sebarang pertelingkahan mengenai Laut China Selatan perlu ditangani melalui dialog secara aman dan rundingan berlandaskan prinsip Undang-Undang Antarabangsa. 

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman (gambar) berkata ini termasuk Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982. 


Beliau yang berkata demikian pada Forum Serantau ASEAN (ARF) dan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar - Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS-FMM) di Brunei Darussalam semalam turut menyatakan pendirian Malaysia berhubung situasi di Syria dan Palestin. 



Menurut kenyataan Wisma Putra, Anifah juga menyarankan negara peserta ARF memperkukuh penyelarasan dan kerjasama untuk meningkatkan kesiapsiagaan dan kapasiti bagi menangani ancaman keselamatan siber. 

Bertukar pandangan 

Dalam sesi pemukiman ARF, menteri luar negara peserta ARF bertukar pandangan mengenai cabaran keselamatan di rantau ini termasuk perkembangan di Laut China Selatan, proses perdamaian di Timur Tengah dan situasi di Semenanjung Korea dan Syria. 

Mereka turut membincangkan isu ancaman keselamatan bukan tradisional seperti bencana alam, keganasan, pengedaran dadah, penyeludupan dan pemerdagangan manusia, keselamatan siber dan kegiatan lanun. 


Anifah berkata, sidang kemuncak itu telah melalui banyak perubahan sejak penubuhannya di Kuala Lumpur pada 2005. 

“Dalam kerjasama keselamatan EAS, pendekatan berlandaskan undang-undang dalam mentadbir hubungan antara negara dapat menggalakkan, mempromosi dan memastikan ketelusan niat dan ramalan tingkah laku secara berterusan,” katanya. 

No comments:

Post a Comment