Nuffnang Ads

Friday, 5 July 2013

Nafi kemasukan 30,000 pekerja asing


Jabatan Imigresen menafikan laporan media asing berhubung kemasukan 30,000 pekerja dari Bangladesh ke negara ini secara berperingkat sejak Jun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Alias Ahmad, sebaliknya menjelaskan hanya terdapat 198 pekerja dari Bangladesh masuk ke negara ini sejak April lalu untuk bekerja di sektor perladangan dengan syarikat Sime Darby. 
Katanya, kemasukan pekerja Bangladesh itu dibuat di bawah program khas dan pemantauan bersepadu antara kerajaan Malaysia dan Bangladesh. 


Kekurangan pekerja

“Program dua hala ini tidak membabitkan mana-mana agensi pekerja asing bagi mengelak penyelewengan, pemerdagangan manusia dan sebarang isu lain timbul.

“Sektor perladangan kurang diminati rakyat tempatan, pihak berkenaan terpaksa memohon pekerja asing bagi mengisi kekosongan tenaga kerja manusia di sektor berkenaan yang memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara,” katanya ketika dihubungi BH di sini, semalam.

Alias berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar asing, Dhaka Tribune yang melaporkan kira-kira 30,000 pekerja dari Bangladesh dijadual tiba ke Malaysia secara berperingkat sejak Jun lalu selepas satu keputusan dibuat antara wakil buruh Bangladesh di Malaysia dan pegawai kerajaan Malaysia pada 23 Mei. 
Menerusi media itu, Malaysia dilaporkan bercadang mengambil 30,000 pekerja Bangladesh untuk sektor perladangannya di bawah perjanjian antara kerajaan kedua negara yang dimeterai 26 November lalu.

Sementara itu, Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil & Sederhana Malaysia (IKHLAS) semalam tampil membuat laporan polis membantah kemasukan 30,000 pekerja dari Bangladesh ke negara ini yang tiba secara berperingkat sejak Jun lalu.

Presiden IKHLAS, Mohd Ridzuan Abdullah, berkata bantahan itu dibuat berdasarkan tinjauan dan kaji selidik pertubuhannya yang mendapati ramai warga asing mengambil kesempatan berniaga secara haram selepas berjaya masuk ke negara ini.

“IKHLAS mendapati ramai warga Bangladesh yang masuk ke negara ini dalam sektor perladangan namun selepas visa tamat tempoh, majikan lepas tangan dan membiarkan mereka berada di dalam negara tanpa pengawasan,” katanya.

No comments:

Post a Comment