Dua penghinaan hampir serentak terhadap kesucian Islam ketika umatnya di negara ini baru memulakan puasa Ramadan minggu lalu, mungkin tidak berlaku jika pihak berkuasa bertindak cepat, tegas dan bijaksana dalam menangani beberapa kes seumpamanya sebelum ini.
Walaupun tindakan pasangan blogger seks, Tan Jye Yee dan Vivian Lee, menyiarkan gambar mereka menghirup sup babi sambil mengucapkan selamat berbuka, mungkin tiada kaitan dengan kenyataan Duta Vatican City, Joseph Marino menyokong penggunaan kalimah Allah bagi penganut Kristian di negara ini, kedua-duanya sengaja dilakukan dan mempunyai motif sama.
Sebagai rakyat Malaysia, Tan dan Vivian pasti tahu sensitiviti umat Islam yang menjadi majoriti di negara ini, apa lagi mengenai daging babi. Begitu juga dengan Morino. Sebagai utusan Vatican City, mustahil beliau jahil dengan sejarah keharmonian antara agama di negara ini.
Oleh kerana itu, kita melihat motif mereka tidak lain daripada mencabar kedudukan Islam sebagai agama rasmi di negara ini serta mempromosi kebebasan tanpa batas dalam semua perkara.
Dasar semakin terbuka
Walaupun matlamat seperti itu bukan perkara baru, mereka dan beberapa kumpulan lain sejak beberapa tahun kebelakangan ini semakin berani berbuat demikian kerana dasar kita yang dilihat semakin terbuka.
Perubahan landskap politik tanah air menyebabkan tindakan seumpama itu mendapat sokongan daripada pemimpin atau parti politik tertentu yang menjadikan kebebasan sebagai landasan perjuangan.
Pemimpin atau parti politik yang sepatutnya menentang, hanya membisu kerana takut kehilangan rakan kongsi atau sokongan pengundi bukan Islam.
Pada masa sama, pihak berkuasa yang sepatutnya bertanggungjawab menangani kes seumpama ini, dilihat lambat bertindak atau tidak berbuat apa-apa, sehingga kes baru muncul semula.
Kes pasangan Cina bekas pelajar National University of Singapore itu bukan yang pertama, selepas mereka menggemparkan rantau ini apabila memuat naik gambar dan video lucah sendiri ke blog mereka. Mereka dilaporkan kembali ke Malaysia bagi mengelak tindakan pihak berkuasa republik itu.
Awal bulan ini, mereka memuat naik video menunjukkan operasi pihak berkuasa menahan sekumpulan remaja Islam menyertai parti buih. Pada video berkenaan, ditulis keterangan ‘susahnya jadi Melayu’. Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu, blog mereka memuat naik gambar separuh bogel Vivian yang hanya dilitupi bendera sebuah parti politik.
Dalam kes yang menimbulkan kemarahan terbaru umat Islam ini, mereka memuat naik gambar ketika menikmati hidangan dengan tulisan ‘Selamat Berbuka Puasa dengan bak kut teh (sup tulang babi)... wangi, enak dan menyelerakan’. Logo halal turut diletak pada gambar berkenaan.
Agenda tersembunyi terhadap Islam
Kepada beberapa pertubuhan Islam, Marino dilihat mempunyai agenda tersembunyi terhadap Islam dan umatnya. Rekod menunjukkan pemimpin kanan gereja Roman Katolik ini selalu berada di kawasan krisis membabitkan konflik Islam-Kristian.
Marino menyertai delegasi Vatican ke Belgrade ketika kemuncak krisis Kosovo yang menyaksikan pembunuhan umat Islam pada 1999. Beliau juga turut serta dalam rombongan Vatican ke Rumah Putih sebelum Amerika Syarikat menyerang Iraq pada 2003.
Sebelum dihantar sebagai duta Vatican ke Malaysia, Marino berkhidmat empat tahun di Bangladesh yang mana beliau dilaporkan turut mencampuri urusan dalaman politik negara umat Islam itu.
Ketiga-tiga individu ini bernasib baik kerana mereka melakukan kebiadapan itu di Malaysia yang mana kemarahan umat Islamnya diluahkan melalui laporan polis dan desakan supaya tindakan tegas diambil.
Kita tidak tahu sejauh manakah keberkesanan laporan polis dan desakan itu dalam memastikan kedua-dua kes ini tidak berulang dan melarat ke tahap lebih buruk. Setakat ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia belum memberi reaksi terhadap kebiadapan Tan/Vivian, manakala Wisma Putra masih membisu berhubung keceluparan Marino.
Mai Pikiaq Pi: Akan muncul Alvin baru jika kerajaan tidak mengambil tindakan tegas terhadapnya dan orang-orang yang menghina Islam.....
No comments:
Post a Comment