Nuffnang Ads

Friday 5 July 2013

'Syarikat tak boleh diwajibkan bayar zakat'

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, berkata Perlembagaan Persekutuan hanya membenarkan zakat dikutip daripada orang Islam, bukan daripada syarikat.

Katanya undang-undang tidak boleh menjadikan sesebuah syarikat sebagai orang Islam atau bukan Islam. 


“Saya tidak mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan Jawatankuasa Fatwa Selangor. Saya hanya cuba memahami asas atau rasional di sebalik keputusan itu (isu zakat),” katanya dalam ucapan bertajuk 'Kewajipan Syarikat Membayar Zakat: Isu yang timbul daripada kesan entiti undang-undang berasingan' pada Persidangan Undang-Undang dan Korporat Malaysia 2013 di sini, semalam. 


Beliau berkata Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan Jawatankuasa Fatwa Selangor gagal membezakan antara seorang manusia beragama Islam dan sebuah syarikat apabila mereka mengatakan syarikat wajib membayar zakat.

"Mereka membuat andaian bahawa di sebalik sesebuah syarikat, ada manusia (pemegang saham). Mereka mengaitkan agama pemegang saham dengan syarikat itu. Jika pemegang sahamnya beragama Islam, maka syarikat itu dianggap sebagai seorang Islam oleh itu, wajib membayar zakat,” katanya.

Abdul Hamid yang juga ahli Majlis Penasihat Syariah berkata, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bukan sebuah jawatankuasa ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang dan ia tidak mempunyai kedudukan di sisi undang-undang.

“Keputusannya bukan ‘fatwa’ yang mengikat sesiapa. Di Wilayah Persekutuan, jawatankuasa fatwa yang mempunyai kuasa mengeluarkan fatwa ialah Jawatankuasa Fatwa Wilayah Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (“Jawatankuasa Fatwa Wilayah Persekutuan”). 


“Jawatankuasa Fatwa Selangor ditubuhkan secara undang-undang di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 (Enakmen No. 1, 2003). Kedua-dua keputusan berkenaan dengan jelas mengatakan bahawa sesebuah syarikat diwajibkan membayar zakat,” katanya. 

No comments:

Post a Comment