Nuffnang Ads

Monday 8 July 2013

Pelajar Malaysia usah terbabit konflik di Mesir

Penuntut Malaysia di Mesir dinasihatkan tidak menyebelahi mana-mana pihak yang terbabit dalam konflik menentang atau menyokong bekas Presiden negara berkenaan, Dr Mohamed Morsi. 

Timbalan Pengerusi Kelab UMNO Mesir, Habib Bakri Mamat, berkata peringatan itu perlu dipandang serius kerana ia membabitkan soal keselamatan dan nyawa pelajar Malaysia di Mesir. 


“Penggunaan media sosial seperti Facebook dan Twitter juga perlu dikawal bagi mengelakkan salah faham dengan penduduk tempatan. Kita khuatir jika apa yang ditulis itu difahami orang tempatan, tidak mustahil mereka bertindak ganas ke atas kumpulan yang tidak menyebelahi mereka. 


Sentimen makin kuat 

“Apa yang saya sedar, sentimen pro-Morsi dan anti-Morsi semakin kuat dan ini membimbangkan jika ia menular dalam kalangan pelajar kita,” katanya yang juga penuntut Tahun Empat Jurusan Perubatan, Universiti Mansurah, ketika dihubungi semalam. 

Beliau berkata, sehingga semalam, keadaan bergolak semakin terkawal dan pelajar Malaysia berada dalam keadaan selamat kerana mereka sudah diingatkan supaya tidak keluar selepas Asar berikutan perhimpunan demonstrasi bermula selepas waktu itu sehingga tengah malam. 

Katanya, pelajar Malaysia yang berada di Mesir adalah mereka yang menunggu keputusan peperiksaan atau bukan di kawasan konflik. 


Bergerak dalam kumpulan 

Sementara itu di Kota Bharu, Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA, Datuk Abd Rahim Abd Ghani, berkata agensi itu sudah mengingatkan lebih 1,000 pelajar tajaannya di Mesir sentiasa bergerak secara berkumpulan, manakala yang tinggal berhampiran lokasi tegang diminta menjauhi kawasan berkenaan. 

“Penuntut tajaan MARA di sana dilaporkan selamat, boleh berhubung dengan bilik gerakan serta pegawai MARA yang ada di sana. Sebanyak 70 peratus daripada pelajar tajaan kita di Mesir adalah penuntut jurusan perubatan dan setakat ini pengajian mereka tidak terjejas,” katanya selepas Majlis Graduasi GiatMARA Kelantan Sesi 1/2013, semalam. 

Katanya, ibu bapa yang mahu mendapatkan perkembangan anak mereka di Mesir boleh menghubungi hotline Bilik Gerakan MARA di talian 03-26132117, 03-2613 2230, 03-2613 2264 atau 03-2613 2277 selain mendapatkan nombor Bilik Gerakan Keselamatan Iskandariah di Mesir yang beroperasi 24 jam daripada http://www.mara.gov.my. 

Sementara itu, jurucakap Kedutaan Malaysia di Mesir, ketika dihubungi semalam, berkata 145 penuntut tajaan MARA di negara berkenaan sudah pulang ke tanah air sejak minggu lalu.

No comments:

Post a Comment