Nuffnang Ads

Tuesday, 18 June 2013

Jangan Tak Sokong Kerajaan Kerana Pembohongan Pembangkang, Kata Najib


Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan para pelajar Malaysia di luar negara supaya tidak terpedaya dengan pembohongan pembangkang sehingga menyebabkan mereka tidak lagi menyokong kerajaan Malaysia.
Perdana Menteri berkata fitnah dan pembohongan pembangkang berhubung proses Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang lalu misalnya telah menimbulkan persepsi yang salah terhadap kerajaan sehingga ada golongan terpelajar juga turut mempercayainya.
“Sampai hari ini belum ada buktipun bahawa kononnya kita bawa 40,000 warga Bangladesh (untuk mengundi), ini satu fitnah dan pembohongan yang amat besar yang berlaku dalam pilihan raya kali ini.
“Sebab itu saya kata tak kan ada orang tak boleh fikir, rupanya ada orang tak boleh fikir, saya dapat tahu peguampun tak boleh fikir. Apa sudah berlaku ke atas mereka, apa yang terjadi dengan tahap kecerdikan dan rasional yang tak boleh fikir soal ini,” katanya semasa berucap pada majlis jamuan tengah hari bersama pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia di Dewan Serbaguna, Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia di Kuningan, di sini hari ini.
Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan dan isteri Datin Sharifah Ikhlas Syed Ismail.
Najib berada di sini dalam rangka lawatan peribadi untuk bertemu beberapa pemimpin Indonesia yang rapat dengannya, selain berehat selepas PRU13.
Perdana Menteri meminta para pelajar Malaysia di Indonesia berfikir secara rasional bagaimana Barisan Nasional (BN) kononnya boleh membawa 40,000 warga Bangladesh ke Malaysia sebagai pengundi kerana ia memerlukan 100 pesawat jumbo untuk mengangkut mereka dari negara asal dan memerlukan 1,000 buah bas pula untuk membawa mereka ke tempat mengundi pada hari mengundi.
Secara logik, katanya, dakwaan pembangkang itu tidak masuk akal dan BN pula sukar untuk menyembunyikan warga Bangladesh di Malaysia kerana ciri-ciri paras rupa mereka adalah berlainan dengan kebanyakan warga Malaysia.
“Saya sebagai Pengerusi BN menafikan dengan sekeras-kerasnya wujud penipuan yang kononnya dilakukan oleh BN. Proses pilihan raya telah berlaku dengan adil mengikut undang-undang dan peraturan,” katanya.
Najib berkata BN yang telah banyak melakukan perubahan dari segi penyampaian dalam tempoh empat tahun yang lalu dan telah menang secara sah pada PRU13, namun ia kalah dalam perang persepsi kerana fitnah dan pembohongan yang dilakukan pembangkang melalui media alternatif yang lebih dipercayai daripada kebenaran yang dipaparkan dalam media arus perdana.
“Kita perlu untuk PRU akan datang, BN melengkapkan dari segi kemampuan untuk memerangi perang persepsi, realitinya kita sudah sampaikan, Malaysia semakin hari semakin makmur dan menjadi contoh kepada negara lain tetapi persepsinya dikatakan sebaliknya.
“Inilah yang kita hadapi sebagai cabaran yang paling besar kepada BN untuk memerangi perang persepsi,” katanya.
Perdana Menteri berkata sunggupun lawatannya ke Indonesia kali ini bersifat peribadi, beliau turut mengadakan perjumpaan dengan beberapa pemimpin Indonesia yang rapat dengan beliau.
“Saya telah menegaskan kepada mereka bahawa hubungan Malaysia dan Indonesia merupakan hubungan yang sangat penting yang perlu dipupuk dan diperkukuhkan melalui lawatan rasmi dan peribadi,” katanya.
Najib berkata dalam lawatannya kali ini beliau turut ditemu bual stesen TV swasta MetroTV dan ditemu ramah majalah Tempo di sini di mana beliau antara lain menyampaikan mesej bahawa Malaysia ingin melihat integrasi ekonomi antara Malaysia dan Indonesia menjadi lebih mendalam walaupun kedua-dua negara mempunyai jumlah dagangan yang sentiasa baik iaitu kira-kira AS$18 bilion.
Sasaran yang dituju dari segi jumlah dagangan untuk kedua-dua negara itu ialah AS$30 bilion menjelang tahun 2015.
“Saya sampaikan mesej ini dengan harapan berdasarkan hubungan kerajaan dengan kerajaan dan rakyat dengan rakyat yang sangat serasi, maka ia perlu diterjemahkan dalam bentuk hubungan ekonomi, perdagangan dan pelaburan, yang boleh menjadikan hubungan Malaysia-Indonesia lebih kukuh,” katanya.
Mai Pikiaq Pi: Pembangkang akan sentiasa menabur fitnah demi kelangsungan politik kotor mereka... 

No comments:

Post a Comment