Nuffnang Ads

Wednesday, 12 June 2013

'USAH ANGKAT SUMPAH'


Ahli Parlimen BN Selangor mencabar ahli parlimen PR untuk tidak mengangkat sumpah sebagai ahli yang berhormat  pada 24 Jun ini dan  tidak hadir sidang dewan rakyat berterusan dalam tempoh enam bulan jika benar mereka hendak memulaukan sidang parlimen.

Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon berkata, PR dicabar supaya bertanggungjawab dan merealisasikan kenyataan mereka untuk memboikot sidang Dewan Rakyat berterusan selama enam bulan.

“Jika kenyataan Ahli Parlimen PR sekadar untuk hendak perhatian, janganlah buat kenyataan begitu.

“Kalau betul berani buat kenyataan dan perlu berani bertanggungjawab dengan apa yang dikatakan, kita cabar mereka jangan angkat sumpah pada 24 Jun ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, situasi itu memperlihatkan ketidakhadiran ahli parlimen PR pada sesi taklimat yang diadakan semalam dan mahu memulau sidang dewan rakyat sebagai mempermainkan sistem demokrasi negara.

"Tindakan mereka tidak hadir sesi taklimat menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab mereka kepada rakyat sedangkan mereka telah dipilih rakyat pada PRU13 lalu.

“Sepatutnya mereka tampil dan berfikiran terbuka untuk mendengar taklimat kerana ia dibuat oleh badan berkecuali, Parlimen,” katanya.

Irmohizam turut mencabar ahli parlimen PR untuk tidak hadir majlis angkat sumpah ahli parlimen dan memulau sidang parlimen jika merasakan sidang tersebut tidak penting.

“Mengapa perlu mempermainkan amanah rakyat jika mahu pertikai keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)?.

“Jika mahu memperkotak-katikkan sistem demokrasi ini, kita cabar mereka boikot berterusan sesi sidang Dewan Rakyat,” katanya.

Berdasarkan Artikel 52(1) Perlembagaan, jika seseorang ahli Dewan Rakyat tidak hadir selama enam bulan tanpa notis dan izin Speaker, seseorang ahli parlimen itu bakal berdepan risiko digugurkan jawatannya sekali gus kerusinya akan dikosongkan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan turut mengecam tindakan ahli parlimen pakatan rakyat yang tidak hadir sesi taklimat parlimen pagi semalam turut menyifatkan mereka tidak mahu mandat tersebut.
“Ini menunjukkan PR tidak menghormati pengundi-pengundi mereka. Mungkin mereka tidak mahu mandat itu.
“Mereka tidak menghormati keputusan pengundi yang memilih mereka malah tindakan ini merugikan rakyat dan negara “ katanya.

PR terutamanya PKR sebelum ini, menegaskan mereka mahu boikot sesi Parlimen ke-13 yang akan bermula 24 Jun ini selagi tuntutan mereka tidak dipenuhi.
Antaranya, mereka mendesak supaya pengerusi dan timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletak jawatan kerana didakwa bersekongkol dalam penipuan PRU13.

No comments:

Post a Comment