Manifestasi perubahan dalam UMNO bukanlah semata-mata dengan transformasi yang dilaksanakan dalam pemilihan parti sebagaimana yang diumumkan oleh Presidennya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dengan melibatkan lebih 150,000 perwakilan UMNO daripada 191 bahagian di seluruh negara, kata Setiausaha Agung Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Datuk Paduka Abdul Rahman Ibrahim.
Katanya, pendekatan paling penting bagi UMNO adalah ke arah pengukuhan parti dari semua peringkat yang bermula di akar umbi membabitkan cawangan, bahagian hinggalah ke peringkat pusat.
“Kekuatan UMNO akan dapat menyemai sokongan bukan sahaja di kalangan ahli-ahlinya tetapi juga rakyat Malaysia yang pelbagai kaum juga turut berpaut kepada keutuhan UMNO sebagaimana usianya 67 tahun dan menjadi teraju kemerdekaan dengan mentadbir negara ini sehingga kini,” katanya.
Katanya, kekuatan UMNO akan memberi impak besar kerana parti ini adalah payung yang turut menjadi teduhan kepada masyarakat pelbagai kaum, berbilang agama dan budaya di negara ini.
“Apabila pemilihan parti membuka laluan kepada anggota yang lebih ramai untuk memilih dan terlibat secara langsung dalam menentukan kepimpinannya maka ia akan turut memberi laluan kepada golongan muda yang akan menjadi pelapis masa hadapan.
“Melalui keterbukaan ini, proses meremajakan kembali parti berlangsung dengan menjadikan parti ini sentiasa sesuai dengan kehendak generasi hari ini yang tentunya menjadi bakal pemimpin masa hadapan.”
Terang beliau, UMNO tidak mengambil endah sikap segelintir pihak termasuklah pakatan pembangkang yang seringkali menimbulkan permasalahan dengan tujuan untuk melengahkan pelbagai pelaksanaan dan janji-janji untuk rakyat.
“UMNO tidak perlu berlengah atau terpengaruh melayan manipulasi dan provokasi pembangkang sebagaimana himpunan ‘blackout 505’, ‘readbean army’ atau apa-apa sahaja yang sememangnya sengaja diwujudkan bagi mengalihkan tumpuan pemimpin dan rakyat.
“Fokus utama dalam parti adalah kepada pengukuhan UMNO dan pemilihan perlu menjadi agenda terbesar dalam mempersiapkan jentera dengan kekuatan maksimum bagi berdepan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).”
Jelas beliau, biarpun dalam PRU13, kedudukan UMNO menjadi bukti bahawa sokongan rakyat terus padu berdasarkan pertambahan bilangan kerusi daripada 79 kepada 88 tetapi ia perlu terus diperkukuh.
Sedang berlangsung sekarang ini siri jelajah penerangan berkaitan pemilihan UMNO ke tiap-tiap negeri dan dijangka akan berakhir penghujung bulan ini sementara Majlis Tertinggi telah menetapkan Persidangan Cawangan bermula pada 15 Julai 2013 sehingga 31 Ogos 2013 dengan persidangan peringkat bahagian dan tarikh pemilihan akan ditentukan kemudian.
Mai Pikiaq Pi: UMNO terus maju dan menjadi parti unggul orang Melayu!
No comments:
Post a Comment