Penganalisis politik menasihatkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya tidak perlu tertekan oleh mana-mana parti komponen termasuk parti sendiri, PKR.

Timbalan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Prof. Dr. Jayum Jawan berkata, sebenarnya pelantikan Pegawai Perhubungan Politik daripada setiap parti komponen PR adalah tidak perlu.

“Sewajarnya Abdul Khalid tidak tunduk kepada tekanan politik. Jawatan
political liaison tidak perlu sebenarnya kerana dia dah lantik Exco yang telah diwakili ketiga-tiga komponen PR (Pas, DAP dan PKR).

“Exco telah dilantik  untuk melaksanakan tugas pentadbiran negeri jadi tidak perlu lagi melantik atau mewujudkan jawatan baru bagi tujuan memantapkan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya semalam.

Sementara itu, Jayum turut menjelaskan ia melibatkan urusan pentadbiran negeri bukannya politik.

“Ini urusan kerajaan bukan parti. Oleh itu, Abdul Khalid boleh memilih sesiapa sahaja individu termasuk pegawai pentadbir negeri yang tidak ada kena mengena dengan komponen PR kerana orang dilantik itu ada fungsi untuk membantu beliau dalam urusan kerajaan.

“Abdul Khalid tidak sepatutnya tunduk kepada tekanan politik kerana kewujudan jawatan baru ini dilihat sebagai tidak perlu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, tindakan Abdul Khalid itu akan dinilai rakyat Selangor sebagai ‘goyang’ dalam membuat keputusan mengurus tadbir negeri.

Dalam perkembangan berbeza, Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani pula menyifatkan pelantikan wakil daripada ketiga-tiga parti politik sebagai suatu pembaziran dan tidak rasional.

"Memang membazir, kalau seorang sahaja Pegawai Perhubungan Politik lainlah cerita... ini sampai tiga orang.

"Saya berpendapat tindakan ini adalah ekoran wujudnya masalah dalaman PR Selangor, dan sekiranya posisi ini dibayar kerajaan negeri ini menyebabkan penambahan kos, jelas pembaziran berlaku dalam pengurusan kewangan negeri," katanya.

Sebelum ini, Abdul Khalid melantik Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution sebagai Pegawai Perhubungan Politik Kerajaan Negeri Selangor, dan kemudiannya Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mencadangkan Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Teresa Kok.

Kelmarin, Pas Selangor mencadangkan bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkefly Ahmad atas kapasiti sama iaitu Pegawai Perhubungan Politik di Pejabat Menteri Besar.
Mai Pikiaq Pi: Tiga nakhoda mengepalai sebuah kapal... akhirnya kapal akan tersadai...