Nuffnang Ads

Friday, 21 June 2013

Pemilihan UMNO Lebih Demokratik Dari Parti Yang Guna Nama Demokratik


Penganalisis politik tempatan, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling menganggap pemilihan UMNO yang bakal berlangsung tahun ini adalah satu tindakan yang benar-benar bersifat demokratik jika dibandingkan dengan parti politik lain di negara ini yang menggunakan nama demokratik itu sendiri.
Katanya, dengan penglibatan ratusan ribu ahli-ahli UMNO untuk menentukan pemimpin tertinggi parti maka ia adalah satu perubahan besar yang melibatkan keanggotaan yang ramai tanpa sekatan.
“Sebuah parti politik yang berpegang kepada nama demokratik pun gagal menterjemahkannya tetapi UMNO dapat merealisasikan makna demokratik itu sendiri dengan penglibatan anggota yang sangat ramai dalam satu pemilihan dan tanpa ada peraturan-peraturan yang terlampau ketat,” katanya.
Jelas beliau, perubahan yang dilaksanakan oleh UMNO bukan sahaja membuktikan kematangannya sebagai sebuah parti politik yang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu dan dalam masa yang sama menjadi payung kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Inilah proses peremajaan semula parti ini dengan melibatkan anggotanya dari semua peringkat termasuk di akar umbi bagi menentukan kesinambungan wujudnya UMNO dalam dunia di mana demokrasi itu sudah lebih meluas dan melebar sifatnya.
“Dengan pembaharuan yang digunapakai dalam pemilihan ini maka ia akan memberi ruang penyertaan kepada lebih ramai anggota untuk memilih ketua mereka di peringkat pusat dan menyalurkan pandangan serta idea-idea dari peringkat bawah untuk digunapakai untuk masa hadapan.”
Beliau yang juga Profesor Pelawat di Universiti Utara Malaysia (UUM) menjelaskan bahawa impak positif tentunya akan diperolehi UMNO berkaitan perubahan besar yang berlaku termasuklah golongan muda yang akan turut memberi peranan.
“Jika selama ini golongan muda dikatakan tiada peluang maka ini adalah antara ruang yang ada bagi mana-mana individu untuk terlibat sama dalam dunia politik sama ada untuk memberikan sumbangan dalam bentuk idea dan menentukan masa hadapan partinya berdasarkan kepada pemimpin yang mereka pilih.
Sedang berlangsung sekarang ini siri jelajah penerangan berkaitan pemilihan UMNO ke tiap-tiap negeri dan dijangka akan berakhir penghujung bulan ini sementara Majlis Tertinggi telah menetapkan Persidangan Cawangan bermula pada 15 Julai 2013 sehingga 31 Ogos 2013 dengan persidangan peringkat bahagian dan tarikh pemilihan akan ditentukan kemudian.
Mai Pikiaq Pi: Umno parti orang Melayu yang memayungi seluruh rakyat Malaysia selamanya...  

No comments:

Post a Comment