Nuffnang Ads

Friday, 30 March 2012

Jabatan Penjara Nafi Hoslan Islamkan Banduan


Jabatan Penjara menafikan laporan media bahawa bekas imam Hoslan Husin, yang kini ditahan di penjara berhubung kesalahan menghina mahkamah, telah mengislamkan dua orang banduan di Penjara Kajang.
Hoslan menjalani hukuman penjara satu tahun sejak 8 Mac lalu kerana membaling kasut ke arah panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan.
"Ibu Pejabat Penjara telah menghantar pegawai untuk menyiasat laporan oleh media berkenaan kerana mendapati ia bertentangan dengan tatacara dan prosedur Jabatan Penjara.
"Hasil siasatan mendapati laporan (media) adalah tidak tepat dan boleh mengelirukan orang ramai," kata Ketua Unit Perhubungan Awam Jabatan Penjara, Supri Hashim dalam satu kenyataan media.
Menurut Supri, berasaskan prosedur yang diguna pakai oleh Jabatan Penjara, urusan pengislaman seseorang banduan di penjara dilaksanakan secara teratur dan melalui Jabatan Agama Islam dan bukannya oleh banduan lain.
Misalnya menurut beliau, sebaik sahaja seseorang banduan menyatakan hasrat untuk memeluk Islam, proses pengislaman akan dilaksanakan dengan kehadiran pegawai dari Jabatan Agama Islam, pegawai agama Jabatan Penjara serta saksi-saksi yang diperlukan.
"Ia bagi memastikan pengislaman tersebut dilaksanakan secara teratur," katanya.
Menurut beliau, salah seorang yang dilaporkan diislamkan oleh Hoslan sebenarnya telah memeluk agama Islam pada 2009 iaitu sebelum dia dipenjarakan.
"Manakala seorang lagi banduan sebenarnya dalam proses memeluk agama Islam, yang mana akan diuruskan oleh Jabatan Agama Islam dalam masa terdekat," kata beliau.
Malah dalam kenyataannya, Supri menekankan bahawa "dimaklumkan juga pegawai agama atau pembantu pegawai agama yang menjadi imam kepada banduan di surau-surau di dalam penjara dan bukannya banduan."
Selain itu kata beliau, semua program keagamaan Jabatan Penjara akan dikendalikan oleh penceramah bertauliah atau pegawai agama penjara.
"Kemungkinan penama (Hoslan) di atas hanya menjadi imam di sel di mana dia dia ditempatkan bersama beberapa banduan lain semasa mengerjakan sembahyang pada malam hari.
"Bagi tujuan keselamatan banduan tidak akan dikeluarkan dari sel mereka pada waktu malam. Oleh itu, pada kebiasaannya semasa mengerjakan sembahyang berjemaah dalam sel, pada waktu tersebut  banduan akan bergilir-gilir menjadi imam sesama mereka," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment