Nuffnang Ads

Thursday, 29 March 2012

Pembangkang Jual ‘Minyak Auta’ Selepas ‘Buku Jingga’ Tak Laku


Pakatan pembangkang telah memulakan ‘roadshow’ dengan mempropagandakan isu harga minyak dan pendidikan percuma sebagai ‘gula-gula’ baru untuk dijamu kepada para pengundi menjelangnya Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Suraya Yaakob membidas perbuatan tidak bertanggungjawab kepimpinan pakatan terbabit sedangkan realitinya kerajaan memberi sepenuh perhatian kepada barang keperluan rakyat khususnya membabitkan barangan terkawal.
“Inilah sikap pembangkang yang sebenar iaitu akan menangguk di air keruh dengan memperbesarkan hal-hal yang remeh untuk digunakan sebagai senjata bagi menyerang Kerajaan Barisan Nasional (BN) sedangkan apa yang mereka janjikan dalam Buku Jingga mereka langsung tak mendapat perhatian rakyat,” katanya.
Terbaru, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencanangkan akan menurunkan harga minyak dan memberikan pendidikan percuma  kepada para pelajar sekiranya pakatan pembangkang memenangi PRU ke-13 akan datang.
“Pembangkang tak pernah fikir habis apa yang nak dilakukan sebaliknya mereka akan jadikan hal-hal yang dibangkitkan rakyat sebagai isu sebagaimana PTPTN yang kemudiannya dimanipulasi untuk diberikan pendidikan percuma kepada rakyat apabila berkuasa, dan sekarang berlaku kenaikan harga minyak di pasaran antarabangsa jadi mereka janji pula mahu turunkan harga minyak walhal kerajaan telah tegaskan harganya tidak akan dinaikkan buat masa ini biarpun subsidi kerajaan bertambah.
“Dulu mereka promosikan Buku Jingga yang di dalamnya terkandung macam-macam janji-janji tidak logik pembangkang tetapi rakyat tahu membuat penilaian dan ia tidak mendapat sambutan lantas sekarang ini mereka sebut perkara-perkara yang tidak masuk akal sebagaimana pada PRU-12 dan kita lihat sendiri apabila berkuasa langsung tak boleh ditunaikannya.”
Dilaporkan, baru-baru ini di Lukut, Port Dickson, Anwar sekali lagi telah berjanji untuk menurunkan harga minyak dan akan beri pendidikan percuma kepada seluruh rakyat jika beliau jadi Perdana Menteri selain menyalahkan BN dengan tuduhan menzalimi rakyat. – Sumber MediaUMNO

No comments:

Post a Comment