Nuffnang Ads

Thursday, 29 March 2012

‘Jangan tunduk tuntutan Dong Zong’

Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) disifatkan amat biadab dan begitu berani mencabar kerajaan dengan pelbagai tuntutan yang tidak masuk akal dan melampau.

Pensyarah Universiti Per­tahanan Nasional Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata, walaupun pergerakan komunis sudah tiada, pemikiran mereka yang dipanggil ultra kiasu ini masih tebal.

Menurutnya, kelompok ini akan menuntut sebanyak-banyaknya walaupun menyedari kerajaan tidak akan tunduk, namun akhirnya pembe­rian sedikit oleh kerajaan itulah kemenangan terbesar buat mereka.

“Kerajaan patut sudah tahu strategi ini. Jangan takut dengan ugutan-ugutan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang semakin dekat. Biar kalah tetapi bermaruah, daripada menang tetapi tergadai.

“Jangan terlalu harap undi daripada kelompok ini hingga maruah tergadai. Pentingkan dahulu agenda kebangsaan. Jika Kementerian Pelajaran tunduk kepada tuntutan ini, saya tidak tahu hendak kata apa lagi,” katanya.

Katanya, Dong Zong langsung tidak pernah risau sebahagian produk keluaran sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) yang langsung tidak menguasai dan berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan.

“Jika mereka benar-benar ikhlas sudah tentu agenda kebangsaan iaitu Bahasa Melayu dibincangkan atau dibawa sekali. Ini tidak, semuanya mesti Cina, Cina dan Cina.

“Malah mereka ini menutup kedua belah mata. Masalah yang dihadapi oleh Kementerian Pelajaran langsung tidak mahu diambil tahu. Mereka hanya tahu hak mereka mesti dipenuhi,” katanya.

Mohd Ridhuan berkata, kerajaan perlu tahu sebanyak mana pun pemberian kepada kelompok ini, ultra kiasu tidak akan mengundi kerajaan.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Sosial Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Ahmad Atory Hussain berkata, kekurangan guru di SJKC kerana kesilapan mereka sendiri yang tidak mengembangkannya.

Katanya, kerajaan sepatutnya tiada masalah menambah guru-guru di SJKC namun tuntutan yang dibuat Dong Zong amat keterlaluan.

“Walaupun tuntutan mereka melampau, namun secara perlahan-lahan kerajaan memenuhinya juga,” katanya.

Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Ahmad Sauffiyan Abu Hasan pula berkata, kerajaan seharusnya menimbang tuntutan Dong Zong ini secara terperinci demi manfaat bersama.

“Saya memahami aspirasi Dong Zong ini, mereka berhak menuntut pelbagai perkara daripada kerajaan, tetapi tuntutan tersebut haruslah bersyarat,” katanya.

No comments:

Post a Comment