Perdana Menteri berkata, dalam pertemuannya dengan Presiden Thein Sein, kelmarin, beliau memaklumkan lebih 250,000 rakyat Myanmar didaftarkan menerusi sistem biometrik sepanjang proses 6P.
Najib yang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Myanmar berakhir semalam berkata, ada kemungkinan mereka akan diberi peluang menjadi pembantu rumah kerana rakyat Myanmar sopan dan budayanya sesuai dengan budaya Malaysia.
“Tetapi perkara ini masih dirundingkan dan akan diuruskan Kementerian Sumber Manusia,” katanya pada sidang media selepas majlis perjumpaan serta jamuan bersama ahli perniagaan Malaysia dan Myanmar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Myanmar di sini.
Pada majlis itu, Najib turut menyaksikan empat memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani membabitkan Petronas Carigali Myanmar Inc dan Unog Ptd Ltd, Lembaga Industri Kayu Malaysia dan Myanmar Timber Merchants Association, Esa Jurutera Perunding & Esa International Sdn Bhd dan Win Thin & Associates serta Target Resources Corporation Sdn Bhd dan YaminThida Co Ltd.
Terdahulu, Najib yang diiringi Datin Seri Rosmah Mansor mengadakan pertemuan dengan masyarakat Malaysia di Myanmar. Hadir sama, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam.
Sementara itu, Subramaniam ketika ditemui menjelaskan perbincangan berhubung pengambilan pembantu rumah Myanmar membabitkan beberapa perkara, termasuk jaminan keselamatan pekerja terbabit.
Difahamkan, Myanmar mengamalkan dasar yang ketat berhubung penghantaran pekerja wanita ke luar negara dan setakat ini sudah ada rakyatnya menjadi pembantu rumah di Malaysia tetapi bilangannya kecil.
Baru-baru ini, Subramaniam dilaporkan berkata, kedua-dua negara dijangka menandatangani MoU bagi membawa masuk pekerja Myanmar ke Malaysia, termasuk pembantu rumah. MoU itu adalah atas permintaan Myanmar.
Najib dan Rosmah tertarik melihat potret cenderahati wajah mereka pada majlis perjumpaan serta jamuan bersama ahli perniagaan Malaysia dan Myanmar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Myanmar, semalam.
No comments:
Post a Comment