Nuffnang Ads

Saturday 16 November 2013

Bukan pinggir tapi utamakan kualiti

Syarat diletakkan Petronas Dagangan Bhd (PDB) yang mewajibkan semua pembekal makanan di stesen minyak milik Petronas menjadi pembekal berdaftar adalah untuk menjaga kualiti produk yang dijual di kedai Mesra stesen itu.

Menurut PDB, sebagai syarikat awam tersenarai dan entiti korporat bertanggungjawab, PDB mempunyai kewajipan kepada orang awam untuk memastikan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan mempunyai standard dan kualiti paling tinggi.



“PDB sentiasa berusaha menyokong usahawan tempatan dengan memberikan mereka peluang perniagaan untuk bekerjasama dengan PDB melalui pelbagai platform.

“Usahawan tempatan boleh memohon untuk menjadi pembekal sah (bagi menjual produk makanan di stesen Petronas) melalui Program Industri Kecil dan Sederhana (IKS) kami,” menurut PDB dalam satu kenyataan, semalam.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjelaskan dakwaan bahawa PDB meminggirkan pembekal Bumiputera bagi produk makanan seperti nasi lemak yang dijual di kedai Mesra di stesen Petronas.

Sinar Harian sebelum ini menyiarkan laporan berhubung dakwaan dibuat beberapa pengusaha stesen Petronas dan badan bukan kerajaan yang menyebut PDB cuba meminggirkan usahawan Melayu dan Bumiputera yang menjadi pembekal kecil-kecilan produk makanan di stesen Petronas dengan meletakkan syarat yang membebankan pembekal.

No comments:

Post a Comment