Nuffnang Ads

Wednesday, 27 November 2013

Kuasa Besar China Sokong Usaha Perdamaian dan Diplomatik Bersama UMNO

China yang menjadi antara kuasa besar dunia sentiasa menyokong usaha perdamaian dan hubungan diplomatik yang wujud antara parti apatah lagi apabila ia dapat memberikan sumbangan besar kepada negara dan rakyat di dalamnya,  kata Ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (CPC), H.E. Sun Chunlan.
“CPC sentiasa menghargai jalinan yang wujud dengan UMNO dan menyokong usaha kepimpinan parti ini yang tidak pernah jemu dan terus berusaha memastikan kesinambungan kedaulatan, kebebasan dan perpaduan di Malaysia,” katanya dalam kunjungan hormat kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor malam tadi.
Ujarnya, CPC mengagumi perjuangan UMNO dalam mempromosikan perpaduan khususnya keharmonian dalam pelbagai kaum dan etnik dengan kesatuan dalam kepelbagaian.
“Sebagai parti politik yang terbesar di Malaysia, UMNO telah berjaya meningkatkan taraf hidup masyarakat di negara ini dengan pembangunan ekonomi nasional selain program-program jangka panjang yang sangat berkesan,” katanya.
Beliau turut mengimbas semula hubungan antara UMNO dan CPC berlangsung akrab sejak tahun 1994 yang kemudiannya membawa pertukaran delegasi antara kedua-dua parti untuk berkongsi pengalaman dalam soal politik pembangunan bagi diaplikasikan di negara masing-masing.
“Kita bukan hanya mahu berkongsi idea tetapi juga mempelajari struktur perkembangan UMNO yang telah berjaya membawa negara ini dikagumi d ipersada antarabangsa biarpun hidup dalam masyarakat yang pelbagai kaum.”
setiausaha-umno-malaysia-tengku-adnan-cpc-china-h.e-sunlan-komunis-2013
Dalam ucapan balasnya, Tengku Adnan turut melahirkan rasa gembira dengan hubungan yang terjalin dan menghargai usaha CPC yang sentiasa memberi sokongan terhadap UMNO khususnya dalam menjayakan Forum Antarabangsa sempena Perhimpunan Agung dan saban tahun menjadi delegasi dalam perasmian persidangan tahunan UMNO.
“Tahun ini UMNO berdepan dengan cabaran besar dan berjaya melepasi rintangan yang ada sebagaimana pilihan raya umum yang berlangsung Mei lalu dan kemudiannya melaksanakan pemilihan UMNO yang julung kali melibatkan jumlah perwakilan yang sangat besar iaitu hampir 150,000 orang.
“Kita mahu menyediakan parti yang mempunyai struktur kukuh dengan organisasi mantap bagi diwariskan kepada generasi akan datang dengan menyediakan mereka kehidupan yang lebih baik,” katanya.
Terdahulu, delegasi seramai 11 orang ini dalam rangka lawatan selama tiga hari ke Malaysia turut melakukan kunjungan hormat kepada Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Parlimen pada sebelah pagi.
Hubungan antara UMNO dan CPC telah dimetrai melalui memorandum persefahaman (MoU) pertukaran dan kerjasama antara kedua-dua parti yang berlangsung dalam suasana harmoni di Bangunan Perhubungan Antarabangsa CPC, Beijing pada 4 Ogos 2010.
Menerusi memorandum itu juga UMNO dan CPC bersetuju mengembangkan hubungan berdasarkan prinsip-prinsip kemerdekaan, hak kesamaan mutlak, saling menghormati dan bersetuju untuk tidak mencampuri hal ehwal dalaman masing-masing.
Delegasi CPC adalah antara parti-parti politik yang akan bersama-sama dalam Forum Antarabangsa menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2013 yang bertemakan ‘The Politic of Moderation Accommodates and Balances Competing Principles That Leads to Peace and Stability’ pada 2-7 Disember ini. 

No comments:

Post a Comment