Nuffnang Ads

Friday, 15 November 2013

Bukti kerajaan serius tangani muflis

Sektretariat Bebas Muflis menyifatkan keputusan membentangkan akta baharu di Parlimen bagi menggantikan Akta Kebankrapan 1967 sebagai bukti kerajaan serius tangani isu tersebut.

Pengerusinya,  Datuk Sohaimi Shahadan berkata, dengan seramai lebih 250,000 pemuflis yang ada sekarang ini dan hanya 28 peratus sahaja yang berdaftar dengan Jabatan Insolvensi untuk ditadbir dan diberi peluang kedua, golongan ini perlu dibantu untuk keluar daripada kemelut itu.

“Kebangkrapan bukan penghujung hidup. kami mengharapkan agar draf akta baharu itu menjadi akta yang lengkap, kemas dan meliputi semua penyelesaian ke atas permasalahan yang timbul selama ini dengan mengambil kira peredaran zaman yang mana kemajuan bergerak dengan pantas dan sesuatu akta itu bukanlah selalu boleh digubal," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri bahawa akta baharu bagi menggantikan Akta Kebankrapan 1967 yang akan memberi pelepasan automatik kepada golongan muflis selepas sesuatu tempoh tertentu dijangka dibentangkan di Parlimen tahun depan.

Pada masa yang sama, Sohaimi turut mencadangkan  kepada kerajaan agar menghentikan operasi agensi rujukan kredit, Credit Tip Of Service Sdn. Bhd. (CTOS) yang telah menimbulkan keraguan terhadap keupayaan perkhidmatan yang ditawarkannya apabila berlaku kes peminjam yang telah membuat pembayaran, tetap disenaraihitamkan.

Beliau berkata,  ramai peminjam gagal untuk membuat pinjaman walaupun telah melangsaikan hutang, ekoran data dalam sistem CTOS tidak dikemas kini

"CTOS yang dikendalikan oleh swasta sering kali menyusahkan orang ramai dari segi maklumat yang tidak dikemas kini dan ini menimbulkan ketidakadilan dan penganiayaan.

"Operasi syarikat ini perlu dikaji semula atau dihentikan terus perkhidmatannya dan digantikan dengan satu unit yang diuruskan oleh kerajaan dalam menentukan status kredit seseorang untuk dinilaikan oleh institusi kewangan dan sebagainya," katanya.

Selain itu katanya, sekretariat turut berharap agar proses pinjaman dan lain-lainnya dirombak semula agar tidak timbul masalah penjamin sosial, teknikal, teraniaya dan tertipu dengan sistem pinjaman yang ada sekarang ini.

"Kami merakamkan ribuan terima kasih di atas perhatian serta tindakan yang sewajarnya diambil menteri dan Jabatan Insolvensi yang telah menerima pandangan dan cadangan- cadangan dari sekretariat untuk membantu golongan muflis," katanya.

No comments:

Post a Comment