Nuffnang Ads

Saturday 30 November 2013

Penggunaan gajet galak minat membaca

Peningkatan kadar penggunaan gajet dan alat elektronik bagi proses pencarian maklumat dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya generasi muda, dilihat menjadi penyumbang kepada minat membaca golongan itu.

Ketua Pengarah Perpustakaan Malaysia (PNM), Datuk Raslin Abu Bakar berkata melalui perkembangan penggunaan alat teknologi itu, rakyat Malaysia kini tidak lagi tertumpu kepada bahan bacaan berbentuk fizikal semata-mata seperti buku, sebaliknya berubah kepada koleksi bacaan dalam talian.

Beliau berkata statistik PNM juga mendapati jumlah pengunjung dalam taliannya mencatat peningkatan bagi tempoh empat tahun sehingga 2012.

"Pada 2009, jumlah pengunjung maya PNM adalah 1.23 juta orang, meningkat kepada 6.44 juta orang pada tahun berikutnya, 8.27 juta orang lagi pada tahun 2011, 8.76 juta orang bagi tahun 2012.  

"Untuk tahun ini sehingga Oktober lepas pula, seramai 4.4 juta orang pengunjung dalam talian dicatat dan kita jangkakan jumlah ini akan terus meningkat melebihi jumlah tahun lepas," katanya kepada Bernama hari ini.   

Raslin berkata menerusi definisi dan tujuan membaca, yang kini diberi nafas baharu sejajar kepesatan perkembangan teknologi maklumat, juga menetapkan bahawa bahan bacaan tidak hanya terhad kepada buku yang boleh disentuh.

"Tujuan membaca itu ialah selagi si pembaca mendapat sesuatu yang baharu melalui penglihatan dan pemerhatiannya, maka itu dikira membaca.

"Malah jika kita melihat maklumat dan pengetahuan melalui i-pad atau apa juga alat teknologi sekarang ini, itu juga dikira membaca," katanya.

Justeru, Raslin berkata PNM akan terus memperkaya kandungan bahan menerusi kemudahan media baharu digital bagi menggalakkan lebih ramai pengguna dalam talian mengakses koleksi mereka, seterusnya menyuburkan lagi budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.

"PNM perlu memastikan perkhidmatan dalam talian ini disediakan secara terbaik bagi memenuhi kehendak pengguna... kita akan tumpukan penambahbaikan terhadap bahan digital dan elektronik yang boleh diakses melalui Internet sesuai dengan kehendak mereka," katanya. 

No comments:

Post a Comment