Nuffnang Ads

Thursday, 14 November 2013

PEMILIHAN PEMUDA UMNO ROMPIN TIDAK SAH

Pemilihan bagi jawatan kuasa Pemuda Umno Rompin bakal diadakan semula 16 November ini kerana terdapat masalah teknikal dalam pengendalian pemilihan tempoh hari.

Pemilihan semula itu diarahkan Pengerusi Pemilihan Umno Pusat, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali selepas persidangan jawatankuasa mendapati wujud kes dalam bantahan yang dibuat perwakilan.

Setiausaha Umno Bahagian Rompin, Datuk Wan Kadri Wan Mahusain berkata, keputusan pemilihan tempoh hari bagi jawatan kuasa Pemuda Umno Rompin secara automatik terbatal.

“Pemilihan semula sayap Umno ini dilakukan kerana terdapat isu teknikal iaitu masalah dalam proses pengendalian pemilihan ketika itu.

“Selain itu, terdapat juga bantahan dibuat perwakilan yang bertanding dan pihak Jawatankuasa Pemilihan Pusat mendapati wujud kes dalam bantahan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Pemilihan Pemuda Umno Rompin di Dewan Uniten, Muadzam Shah pada 12 Oktober lalu, menyaksikan pertembungan sengit dua penjuru antara penyandang Ketua Pemuda, Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz dengan Datuk Mohd Johari Hussain.

Johari yang merupakan  Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang merangkap Adun Tioman tewas kepada Sahfri dengan perbezaan enam undi sahaja.

Dalam pada itu, Wan Kadri berkata, Umno Bahagian Rompin kini dalam proses memaklumkan kepada perwakilan dan calon bertanding mengenai pemilihan semula.

Sementara itu, Mohamad Sahfri menganggap pemilihan Pemuda Umno itu yang diadakan sebelum ini sudah berjalan dengan baik dan sempurna.

Menurutnya, demokrasi telah dilaksanakan sebaik mungkin dan tidak perlu terikut dengan rentak pembangkang yang cuba untuk menghancurkan perpaduan dalam Umno.

“Sikap mementingkan diri sendiri dan hasad dengki di kalangan ahli perlu dijauhi  ahli Umno.

“Oleh itu, saya berharap Umno akan terus dianggap sebagai parti yang membela rakyat dan saya bersedia untuk bertanding semula,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Yusmizan Md Yunus yang sebelum ini memenangi jawatan Naib Ketua Pemuda Umno Rompin menewaskan Mohd Azrul Ali juga menyatakan kesediaan untuk bertanding semula jika diarahkan.

Menurut Yusmizan, beliau akan patuh kepada arahan Jawatankuasa Pemilihan Umno Pusat yang mahukan pemilihan semula diadakan.

“Jawatankuasa berkenaan telah menyiasat dan hasilnya mendapati wujud masalah dalam pemilihan baru-baru ini.

“Walaupun saya sudah menang, jika benar berlaku ketirisan maka saya sedia untuk bertanding semula,” katanya.

No comments:

Post a Comment