Usul ekonomi yang akan dibentang pada Perhimpunan Agung Umno minggu depan perlu meliputi langkah untuk menyelamat ekonomi orang Melayu dan Bumiputera, kata beberapa ahli ekonomi.
Dr Jorah Ramlan berkata, Umno antara lain boleh memainkan peranannya dalam penyemakan semula nilai tanah rizab Melayu untuk membantu orang Melayu memajukan tanah mereka sebagai hartanah, yang sekali gus boleh merapatkan jurang pemilikan hartanah di negara ini.
Dr Jorah yang juga pensyarah pelawat di Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya berkata, tanah rizab Melayu selalunya diberi nilai yang lebih rendah daripada tanah bukan rizab, termasuk oleh institusi kewangan dan ini mengurangkan jaminan ekonomi untuk pemiliknya.
Katanya, sebagai parti Melayu paling berpengaruh, Umno boleh menyuarakan perkara ini dan membincangkannya dengan institusi kewangan melalui Khazanah Nasional Bhd, yang merupakan pemegang kepentingan dalam kumpulan perbankan utama di negara ini.
"Apabila Bumiputera mempunyai lebih banyak jaminan dari segi ekonomi dan wang, mereka akan dapat memajukan tanah mereka sebagai kawasan kediaman.
"Tanah rizab Melayu sewajarnya perlu terus menjadi milik orang Melayu dengan syarat mereka boleh memajukannya dan melindungi kepentingan orang Melayu," katanya kepada Bernama.
Kini, Bumiputera dianggarkan memiliki kira-kira 25 peratus daripada jumlah hartanah di negara ini.
Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Peruncitan Affin Investment Bank Bhd Dr Nazri Khan pula berkata usul ekonomi itu secara umum akan menyerlahkan lagi jenis masyarakat yang ingin dibentuk rakyat Malaysia menjelang 2020.
Katanya usul ekonomi yang akan dibentangkan pada Perhimpunan Agung Umno kali ini juga perlu membincangkan laluan ekonomi yang ingin diamalkan Malaysia ketika ini dan pada masa akan datang.
"Mungkin, secara lebih terperinci, usul ekonomi ini ingin menuntut perkara tertentu seperti pekerjaan bergaji lebih tinggi, kadar guna tenaga penuh dan pelaburan dalam infrastruktur luar bandar serta perkhidmatan awam.
"Tujuannya ialah untuk meningkatkan kualiti kehidupan di luar bandar, terutama di kawasan Melayu serta membantu mereka dalam menampung kenaikan kos sara hidup," katanya.
Nazri berkata, perhimpunan itu juga perlu membincangkan perkara berkaitan meningkatkan jaminan ekonomi bagi belia dan golongan lebih berusia seperti keselamatan sosial, bantuan perubatan, penjagaan perubatan, jaminan pengangguran dan perkhidmatan awam yang berkualiti.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif DreamEDGE Sdn Bhd Khairi Adri Adnan berharap Perhimpunan Agung Umno kali ini akan mendorong ke arah penerusan era baharu parti itu seperti yang dapat dilihat dengan ketara ketika ini.
"Saya lihat Umno sekarang telah mula berubah, dari segi kepimpinan mengikut arus perubahan politik dunia dan Malaysia itu sendiri, di mana penglibatan golongan pertengahan yang berpandangan jauh, sudah dapat dilihat dengan ketara dalam pucuk pimpinan mereka.
"Gabungan idea-idea dari golongan pertengahan dan veteran ini, saya percaya dapat membawa perubahan yang positif, terutamanya dari segi pelaksanaan polisi-polisi negara dengan lebih teratur dan baik," katanya.
Beliau berkata, persefahaman antara dua golongan ini akan dapat menguatkan Umno dan sebagai parti pemerintah, ia akan turut memberi kesan positif terhadap pembangunan industri tempatan.
"Industri di negara kita masih mentah jika dibandingkan dengan negara-negara maju seperti Jepun, di mana sebagai contoh, Syarikat Sony milik Jepun mampu bergerak sendiri, tanpa bantuan kerajaan. Mereka sudah kukuh.
"Bagi industri-industri di Malaysia, terutamanya kami dari sektor korporat, pelaksanaan polisi yang berkesan dan sistematik amat perlu bagi merancakkan pertumbuhan kami dan ia hanya akan dapat dicapai melalui sistem politik yang stabil," katanya.
Beliau berkata, kestabilan politik sesebuah negara akan memberi impak positif kepada perniagaan sektor korporat, yang secara tidak langsung akan merancakkan perkembangan ekonomi negara.
No comments:
Post a Comment