Nuffnang Ads

Friday 29 November 2013

Muzakarah: Pemuda UMNO Terbuka Tapi Jangan Main Politik Sorong Tarik

Pemuda UMNO hari ini menyatakan keterbukaan berhubung isu muzakarah antara parti itu dengan Pas dan melihat jika tawaran itu dibuat secara ikhlas dan  jujur  demi masa depan umat Islam.
Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata usaha ke arah itu biarlah dilaksanakan tanpa prasyarat yang terlalu berat untuk kedua-dua belah pihak.
“Kita terbuka dalam isu muzakarah dan kita lihat kalau sekiranya tawaran itu dibuat secara ikhlas, secara jujur maka kita menyokong sebarang usaha untuk melihat kedua-dua parti terbesar Melayu di negara ini untuk membincangkan demi masa depan negara dan juga demi masa depan umat Islam.
khairy-kj-ketua-pergerakan-pemuda-umno-bn
“Tetapi saya nak tarik perhatian bahawa dah ada banyak kali dah kita cuba..dan bila dah dekat nak sampai meja rundingan atau perbincangan terlalu banyak syarat diletakkan oleh parti Pas. Saya harap kalau ada usahanya ke arah muzakarah biarlah ia dijalankan tanpa ada apa-apa prasyarat yang terlalu berat pada kedua-dua belah pihak.
“Saya risau perkara ini dipolitikkan nanti dan usaha murni daripada UMNO yang menerima cadangan tersebut akan digunakan untuk keuntungan parti Pas. Saya mahu supaya kalau kita nak muzakarah kita boleh letakkan agenda tetapi jangan ada prasyarat bahawa UMNO kena setuju kepada itu dan ini dan sebagainya” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda UMNO, di sini, hari ini.
Ketika menjawab soalan apakah perlu ada  tempoh waktu  untuk itu, Khairy menjelaskan tidak perlu adanya tempoh masa.
“Tidak ada time frame…bila ada time frame dan terburu-buru nak buat muzakarah jadi pada waktu itu kita akan lihat bahawa kita tidak buat muzakarah itu atas kepentingan umum tetapi semata-mata buat untuk kejar jadual. Ini penting kalau benda ini jadi, biarlah benda ini jadi secara ‘natural’ dan semula jadi tanpa paksaaan daripada mana-mana pihak tanpa paksaaan oleh kerana jadual waktu,” ujarnya.
Menyentuh soal agenda yang akan disentuh, beliau menambah mungkin agenda yang boleh disentuh adalah agenda penyatuan nasional, penyatuan umat Islam.
“Sebab kita tidak mahu melihat ini sebagai penyatuan umat Islam sahaja. Bila UMNO dan Pas bermuzakarah dan bergabung untuk membincangkan, kita juga mewakili seluruh rakyat Malaysia.  Jadi rakyat yang bukan beragama Islam tidak perlu rasa takut atau risau akan ada satu gabungan parti Islam Melayu. Jadi agenda itu mestilah meliputi bukan hanya meliputi perpaduan ummah dan juga isu kepentingan agama Islam tetapi juga perpaduan nasional,” katanya.
Pada sidang media yang sama beliau turut mengecam mengecam sebarang tindakan pengintipan terhadap kerajaan dan juga rakyat negara ini.
“Kita anggap tindakan tersebut sebagai satu tindakan yang mempertikaikan dan mencerobohi kedaulatan Malaysia. Dan kita menggesa kerajaan melalui Kementerian Luar untuk mengambil tindakan sekeras-kerasnya terhadap sesiapa yang didapati bersalah dalam hal ini,” ujarnya. 

No comments:

Post a Comment