Seorang anggota pembangkang hari ini membangkitkan isu pengurusan Yayasan Selangor sehingga ia dikatakan hilang hasil sewaan bangunannya di Bukit Bintang Kuala Lumpur berjumlah RM4.8 juta setahun.
Sulaiman Razak (BN-Permatang) berkata bangunan komersil milik yayasan itu telah dikosongkan sejak dua tahun lepas untuk tujuan baikpulih tetapi difahamkan sampai sekarang “Development Order” daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur masih belum diperolehi.
Akibat daripada pengosongan bangunan itu, Yayasan Selangor kehilangan pulangan daripada sewaan bangunan sejumlah RM400,000 sebulan, katanya semasa perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2014 di persidangan dewan undangan negeri di sini.
Sulaiman turut menimbulkan isu 80 peratus daripada penyewa bangunan yayasan itu di Petaling Jaya telah keluar dari bangunan tersebut mengakibatkannya kehilangan pendapatan.
Beliau juga mempersoalkan status cadangan projek pembangunan baharu di tapak Asrama Tun Dr Ismail dan Toh Puan Norashikin di Kampung Pandan Kuala Lumpur yang telah dikosongkan.
Sehingga kini tiada pembangunan dijalankan atas tapak asrama itu dan bangunan asrama belum lagi dirobohkan, katanya.
Abdul Khalid tidak memberi jawapan tentang status pembangunan di tapak asrama itu tetapi berkata beliau akan mengarahkan kakitangan yayasan menyediakan laporan mengenai kemajuannya sejak 2008 untuk diedarkan kepada anggota-anggota dewan.
Bagaimanapun beliau berkata kini sejumlah 5,000 anak Selangor mendapat bantuan pelajaran Yayasan Selangor berbanding 2,000 sebelum ini.
Peruntukan pendidikan dari Yayasan Selangor juga telah ditingkatkan dari RM10 juta sebelum ini kepada RM30 juta sekarang, katanya.
Mengenai status bangunan komersil Yayasan Selangor, Abdul Khalid berkata yayasan terpaksa mengeluarkan semula tender membaik pulih bangunan itu.
Bercakap kepada pemberita di luar sidang dewan, Abdul Khalid diminta member penjelasan lanjut tentang isu membaik pulih bangunan yayasan itu.
Katanya, projek membaik pulih itu telah ditender semula bagi mendapatkan kos kontrak yang lebih baik.
“Kita tender semula dan dapatkan harga lebih baik. Harga lebih baik ini akan menampung ‘opportunity cost’ sewaan setahun (bangunan) itu,” katanya.
No comments:
Post a Comment