Barisan Nasional (BN) perlu bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) kerusi Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang walaupun peluang untuk menang tipis, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Beliau berkata soal turun bertanding perlu menjadi keutamaan, bukan factor menang atau kalah.
“Di PRK Sungai Limau (Kedah) lepas macam itu juga, ramai yang kata BN tak perlu letak calon sebab PAS tetap akan menang, tetapi BN tetap bertanding.
“Soal utama adalah pertandingan untuk menunjukkan sekurang-kurangnya ada orang yang tidak bersetuju walaupun kalah,” katanya selepas melancarkan buku ‘Saya, SPR dan Pilihan Raya’ tulisan bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar di sini hari ini.
Dr Mahathir mengulas pandangan beberapa pihak yang menyifatkan BN pasti tewas pada PRK Bukit Gelugor, dan oleh itu tidak perlu meletakkan calon.
Kerusi Bukit Gelugor kosong berikutan kematian penyandangnya, Karpal Singh daripada DAP pada 17 April lepas akibat nahas jalan raya di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar, Perak.
Pada pilihan raya umum Mei 2013, Karpal Singh menang kerusi itu dengan majoriti 41,778 undi menewaskan calon MCA Teh Beng Yeam.
SPR menetapkan 25 Mei sebagai tarikh pengundian PRK Bukit Gelugor dengan penamaan calon pada 12 Mei. Pengundian awal dijadualkan 21 Mei.
No comments:
Post a Comment