Akaun Facebook ’1 Juta Rakyat Malaysia Menyokong Shabery Cheek’ adalah berniat jahat dan langsung tiada kena mengena dengan saya, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Sehubungan itu, beliau telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap perkara itu.
Anggota Parlimen Kemaman itu berkata beliau juga akan membuat laporan polis tentang perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab itu dan akan meminta sendiri kepada pihak Facebook untuk memadam akaun tersebut.
“Saya terkejut bila nama saya digunakan untuk buka akaun ini. Sebenarnya saya tidak tahu langsung tentang perkara ini sebelum ini, daripada sana (akaun Facebook terlibat) membuat posting yang tidak sewajarnya dan dilakukan oleh orang yang tidak bertanggungjawab,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Beliau terdahulu menghadiri Malam Aspirasi Transformasi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) sempena Bengkel Pemukiman Transformasi KKMM.
Akaun Facebook dengan nama ’1 Juta Rakyat Malaysia Menyokong Shabery Cheek’ membuat pelbagai posting yang menghina bangsa dan agama malah turut menghina institusi raja di negara ini dan Polis Diraja Malaysia.
Akaun itu didapati dimulakan pada 29 Mei tahun lepas dan sehingga berita ini ditulis akaun yang didakwa dikendalikan pentadbir bernama ‘Amran Pekida’ itu telah memperoleh 2,328 likes.
Ahmad Shabery berkata perbuatan menggunakan nama orang lain dalam akaun Facebook sememangnya telah banyak berlaku, justeru beliau meminta kepada orang ramai tidak terburu-buru membuat keputusan berkenaan posting dalam akaun seperti itu dan tidak tuduh-menuduh sehingga perkara tersebut dapat disiasat.
“Sebab itu (kita tekankan) konsep klik dengan bijak (bagi) mendidik orang ramai supaya bijaksana membuat sebarang penilaian tentang apa mereka perolehi dalam mana-mana perkara dalam talian,” katanya.
Diminta mengulas mengenai dakwaan SKMM tidak tegas dalam membendung perkara seperti ini, beliau berkata Malaysia pada masa ini mempunyai lebih 14 juta akaun Facebook yang merupakan antara jumlah tertinggi pemilikan akaun itu dalam sesebuah negara dan akaun itu ditadbir oleh pihak Facebook sendiri bukan SKMM.
“Oleh kerana kita amalkan sistem terbuka kita tidak boleh sekat Facebook, nak marah (akaun tertentu dalam) Facebook kita tutup semua itu tidak wajar atau membuat pendaftaran tertentu juga tidak wajar…ini tidak boleh dibuat dan boleh beri kesan negatif pada kita,” katanya.
No comments:
Post a Comment