Pengerusi Biro Barisan Nasional (BN) & 1Malaysia Pemuda UMNO, Mohd Najib Mohd Isa percaya pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan digoreng hingga hangus oleh pembangkang dalam usaha mereka meracuni pemikiran rakyat.
Justeru beliau tidak hairan perkara itu akan menjadi mainan dan tidak akan lekang daripada bibir pemimpin pembangkang yang akan berterusan mencari segala lompongan yang ada dalam usaha menghalalkan matlamat mereka itu.
“Sepertimana kata beberapa pihak sebelum ini dah nama pun pembangkang… tetapi apa yang kita kesal dan hairan benda yang baik pun dimanipulasi dan dipolitikkan. Mustahil mereka tidak tahu tujuan dan manfaat GST itu.
“Sebab itu saya sebutkan tadi sekecil-kecil zarah pun akan dimanipulasi oleh golongan ini kerana yang mereka tahu adalah untuk kepentingan politik semata-mata. Kalau nak goreng tu janganlah sampai hangus… separuh-separuh sudahlah, nanti kelak makan diri,“ katanya di sini.
Beliau seterusnya menempelak pembangkang dan berpandangan bahawa kerajaan tidak akan sama sekali menganiaya malah jauh sekali untuk menekan rakyat menerusi pelaksanaan GST itu nanti.
Sebab itulah ujar beliau lagi rakyat tidak harus menerima bulat-bulat apa yang ditohmah dan dilontarkan oleh pembangkang kerana mereka hanyalah memanipulasi sesuatu perkara untuk memburukkan kerajaan.
“Saya tidak rasa kerajaan akan membebankan rakyat…sama sekali tidak akan terus menekan mereka kerana percayalah GST adalah sistem percukaian yang lebih kemas bagi menggantikan sistem cukai sedia ada.
“Bukankah hasil cukai itu nanti akan kembali kepada rakyat dan juga negara yang akhirnya akan dapat dinikmati oleh semua pihak. nasihat saya kalau nak goreng pun berpada-padalah,“ ujarnya.
Tegas beliau lagi Kerajaan sudah membentangkan banyak fakta cuma pembangkang tidak suka mengambil fakta itu.
“Mereka lebih suka buat spekulasi atau bayangan-bayangan negatif sedangkan mereka sebenarnya akui GST adalah sistem percukaian terbaik yang telah digunakan lebih 160 negara”, katanya.
No comments:
Post a Comment