Nuffnang Ads

Tuesday, 22 April 2014

Media tempatan tidak kalah lapor peristiwa MH370 - Kadir Jasin

Insiden dan misteri kehilangan pesawat MH370 membuktikan media arus perdana tempatan juga serius dan mempunyai kepakaran dalam melaporkan peristiwa itu, kata Tokoh Wartawan Negara Datuk A. Kadir Jasin.

Beliau berkata ini adalah berdasarkan laporan berita yang memaparkan banyak fakta tambahan berhubung peristiwa itu yang diolah daripada kerja-kerja  penyelidikan yang dijalankan para pengamal media.

"Peristiwa itu juga menjadi cabaran kepada media tempatan untuk menandingi jika media antarabangsa dianggap lebih baik dan wibawa. Ini adalah cabaran kepada media tempatan untuk menyaingi dan menjadi lebih baik daripada mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Ketua Pengarang Berita Publishing Sdn Bhd itu menyampaikan syarahan Wacana Intelek bertajuk "Mangsa ke-240 MH370-Media" anjuran Institut Darul Ridzuan di sini.

Beliau berkata tidak dinafikan pada peringkat awal insiden itu berlaku, pihak-pihak bertanggungjawab dilihat tidak teratur dan terancang ketika berdepan dengan media antarabangsa dan tempatan untuk memberikan maklumat terkini berhubung insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) pada 8 Mac.

Bagaimanapun, akhirnya negara dan kerajaan dapat mewujudkan satu sistem yang lebih mudah untuk pengamal media iaitu melantik Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai jurucakap kerajaan, katanya.

"Ini adalah insiden yang luar biasa yang membabitkan penumpang dunia, pesawat yang dibuat di Amerika serta penglibatan banyak negara (dalam operasi mencari dan menyelamat) jadi tidak hairanlah kalau peristiwa ini menarik minat banyak media antarabangsa," katanya.

A. Kadir juga berpendapat media antarabangsa tidak mengada-adakan cerita apabila mengemukakan pelbagai teori kerana peristiwa kehilangan pesawat MH370 adalah misteri dan sesiapa sahaja boleh mengemukakan teori sendiri.

"Adalah sesuatu yang tidak mengejutkan apabila rakyat lebih memberi tumpuan kepada laporan media antarabangsa memandangkan rakyat negara ini terdedah kepada saluran berita antarabangsa di televisyen dan Internet," katanya.

Beliau turut berpendapat media tempatan tidak ketinggalan begitu jauh di belakang media antarabangsa dalam melaporkan peristiwa itu namun menghadapi kekurangan dalam aspek tertentu seperti kewangan.

No comments:

Post a Comment