Pemilihan pucuk pimpinan PKR yang menimbulkan pelbagai kecelaruan termasuk dakwaan berlakunya penipuan bukanlah satu cerita baru kerana perkara yang sama telah berlaku sebelum ini malah masih belum selesai.
Justeru tidak peliklah dengan apa yang berlaku itu memandangkan kes-kes serta dakwaan sebelum ini pun dikhabarkan tidak selesai dan semestinya perkara itu menjadi kayu ukur kepada parti yang kononnya melaung-laungkan demokrasi.
Ketika perkara ini diajukan kepada bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari, beliau secara sinis berkata apa yang berlaku itu sudah dijangka akan berlaku.
“Malah apa yang berlaku itu sebenarnya menujukkan kepada masyarakat umum bagaimana hipokritnya mereka apabila sebelum ini terutama selepas pilihan raya umum yang lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ditohmah dengan macam-macam.
“Tidak cekap dan diragui serta pelbagai dakwaan dilontarkan kepada agensi yang menguruskan pilihan raya di negara kita. Alih-alih pemilihan parti sendiri pula yang kelam kabut dan terpalit dengan pelbagai dakwaan khususnya soal penipuan.
“Mereka umpama meludah ke langit akhirnya terkena muka sendiri,” katanya di sini, hari ini.
Beliau seterusnya menambah pelbagai cerita akan timbul selepas ini bagi menutup segala kecelaruan yang berlaku itu.
“Namun bak kata pepatah jugalah…bangkai gajah kalau ditutup dengan apa sekalipun akan tetap berbau. Inilah harga yang mereka perlu bayar di mana dalam keghairahan membuat pelbagai tohamahan terhadap sistem pilihan raya kita, alih-alih pemilihan sendiri pula penuh kontroversi,” ujarnya.
Sebelum ini dilaporkan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) akan menyiasat langsung dakwaan penipuan undi yang didakwa melibatkan calon timbalan presiden PKR.
Pengerusi JPP Datuk Johari Abdul berkata beliau akan terus ke Batang Sadong, dekat Sri Aman, Sarawak bagi menyiasat dakwaan itu dan akan mengambil tindakan serta-merta jika ia didapati berasas.
Ahli PKR Badrul Hisham Shaharin mendakwa penipuan berlaku ketika kiraan undi di Batang Sadong.
No comments:
Post a Comment