Muzakarah Pas dan UMNO berhubung hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud perlu diadakan supaya pemahaman dan persetujuan bersama dapat dicapai.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata hanya setelah persetujuan dicapai antara Pas dan UMNO dalam pelaksanaan hokum hudud itu, barulah isu itu dibincangkan pula dengan bukan Islam supaya golongan ini dapat memahami dengan tepat bagaimana undang-undang Islam itu akan diaplikasikan.
“Sebagai orang Islam, kita menyokong hudud. Tetapi sudah pasti kita juga melihat kepada keadilan, sebab itu perlu muzakarah Pas-UMNO dan diikuti dengan perbincangan antara orang Islam dan bukan Islam.
“Isu hudud memerlukan pemahaman kerana jika ada yang tidak faham bagaimana bentuk pelaksanaan dan hukumannya memang susah nak buat,” katanya kepada Bernama selepas mengadakan taklimat khas dengan warga Pertubuhan Berita Nasional Malaysia di sini, hari ini.
Mustapa berharap pandangan berkaitan undang-undang hudud itu hanya dating daripada mereka yang mahir dan berwibawa dalam bidang tersebut supaya tidak menimbulkan kekeliruan kerana pelaksanaannya akan melibatkan banyak pihak.
“Ini soal hukum, jadi jika kita tak pakar dan bukan dalam bidang kita lebih baik biarkan mereka yang berwibawa bagi pandangan…orang-orang yang ada bidang kuasa dan yang penting kita (UMNO) tidak tolak hudud,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini menegaskan kerajaan Persekutuan tidak pernah menolak hukum hudud sebagai hukum yang ditetapkan Allah swt, namun banyak kekangan dan keutamaan yang perlu diperhalusi sebelum dilaksanakan tanpa menjejaskan matlamat hukum itu.
Mustapa menyifatkan isu hudud sebagai ‘isu lama yang panas, sejuk, panas, sejuk’ namun hangat kembali ekoran pelaksanaannya tidak disenaraikan dalam manifesto gabungan parti pembangkang pada pilihan raya umum ke-13 lalu, dan menyebabkan berlaku kekeliruan dalam kalangan pakatan pembangkang itu sendiri.
No comments:
Post a Comment