Nuffnang Ads

Thursday, 10 April 2014

GST: Pembangkang Hanya Berhujah Dengan Andaian, Bukan Fakta Sebenar

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin membidas pihak pembangkang yang cuba menimbulkan persepsi negatif rakyat terhadap perlaksanaan Government Service Tax (GST) dengan hanya berdasarkan andaian dan bukan menggunakan fakta sebenar.
Menurut beliau,  GST merupakan satu sistem percukaian yang menggantikan sistem percukaian yang sedia ada, iaitu menggantikan sistem cukai berganda kepada sistem satu cukai dan perlaksanaan sistem ini baik untuk ekonomi dan rakyat pada masa yang akan datang.
“Sebab itu kerajaan tidak perlu takut untuk melaksanakan perkara-perkara baik untuk rakyat.   Cuma hari ini kita perlu menstruktur dan mengemas baik sistem ini agar GST ini tidak membebankan rakyat biasa dengan kenaikan harga barang diperingkat awal ketika GST dilaksanakan. Contohnya rakyat yang berpendapatan rendah empat ribu ke bawah.
“Memang tidak dinafikan sekiranya GST dilaksanakan, ada kemungkinan harga barang agak melambung sedikit dan ini perlu dikawal oleh agensi kerajaan yang terbabit,” jelasnya di sini hari ini.
Justeru itu menurut beliau, penerangan kepada rakyat bahawa pengecualian cukai GST  ke atas produk seperti padi dan sayur-sayuran serta makanan asas seperti beras, gula, tepung, minyak masak, ikan, daging dan ayam perlu diperluaskan lagi agar mereka tahu bahawa bahan-bahan asas tersebut tidak dikenakan GST.
Kata beliau lagi begitu juga dengan kekeliruan yang berlegar di kalangan rakyat berhubung  fakta bahawa GST akan menggantikan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan sedia ada dan bukan menambah cukai sedia ada.
“Ramai yang masih tidak tahu bahawa pada masa kini mereka sedang membayar cukai walaupun ia tidak dipamerkan di dalam resit-resit pembelian. Masih ramai tidak mengetahui bahawa GST bakal menghapuskan cukai berganda yang mengakibatkan harga barangan menjadi lebih tinggi,” katanya.
Tambah beliau,  rakyat juga  perlu difahamkan sebagai contoh apabila GST dilaksanakan maka restoran atau hotel akan tetap mengenakan cukai perkhidmatan di mana ia seolah-olah terdapat dua cukai di situ.
“Sebagai contoh di Amerika dan di negara-negara barat mereka menggunakan tips. Mungkin di negara ini perlu dijelaskan bahawa cukai yang dikenakan oleh hotel itu adalah untuk hotel itu sendiri dan bukannya cukai yang dikenakan oleh kerajaan.
“Perkara seperti inilah yang membuatkan rakyat menjadi keliru, dan bertambah lagi kelirunya apabila pembangkang memberikan hujah-hujah andaian di mana kononnya  perlaksanaan GST menyebabkan cukai bertambah.
“Inilah perkara yang akan dimanipulasikan oleh pembangkang untuk menimbulkan persepsi negatif di kalangan rakyat berhubung percukaian GST yang akan dilaksanakan oleh kerajaan, seolah-olah ianya satu cukai tambahan dari pihak kerajaan,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment