Nuffnang Ads

Wednesday 30 April 2014

Kerajaan Selangor Perlu Bertanggungjawab Bagi Kekurangan Bekalan Air – KJ

Kerajaan Selangor perlu bertanggungjawab bagi masalah bekalan air yang berlaku di negeri itu dan Kuala Lumpur, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata kerajaan Selangor tidak patut menangkis perkara itu dengan meletakkan sebahagian kesalahan di bahu Kerajaan Persekutuan.
“Jika kerajaan Selangor meluluskan Langat 2 pada 2009, ia sudah pun siap sekarang dan pengguna akan mempunyai cukup air hari ini,” katanya dalam ruangan komen akhbar berbahasa Inggeris The Star hari ini.
khairy-perhimpunan-agung-umno-menteri-umno-bn-rembau-n9-negeri-sembilan
Khairy, yang juga pengerusi Pemuda Barisan Nasional dan Ketua Pemuda UMNO, berkata melalui perancangan sewajarnya, Selangor akan mempunyai cukup air untuk memenuhi peningkatan permintaan dan menghadapi kemarau.
Katanya pada 2010 Kerajaan Persekutuan mengingatkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa krisis air akan berlaku pada 2014 sekiranya sumber air tidak diurus dengan baik.
Bagaimanapun, Abdul Khalid menjawab dengan berkata terdapat air yang mencukupi untuk memenuhi permintaan Selangor dan Kuala Lumpur hingga 2019.
“Kerajaan Negeri Selangor enggan membenarkan pembinaan Langat 2 dan sejak 2009, menolak kenaikan tarif air. Akibat degil, kerajaan negeri Selangor menjadi batu penghalangnya,” kata beliau.
Khairy berkata demi kepentingan orang ramai, Kerajaan Persekutuan bersetuju memperuntukkan RM9.65 bilion bagi membeli syarikat air dan menyerahkan semua aset kepada Kerajaan Selangor untuk dikendalikannya melalui memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 26 Feb.
“Ini dilakukan semata-mata kerana Kerajaan Persekutuan amat prihatin berhubung nasib penduduk Selangor.
“Seperti yang terjadi, lebih 1.3 juta isi rumah atau 6.3 juta orang terjejas dan 820 projek baharu ditangguhkan,” katanya.
Selangor memulakan fasa pertama catuan air di Lembah Klang tahun ini berikutan penutupan Loji Rawatan Air Batu 11 Cheras dan Loji Rawatan Air Bukit Tampoi akibat kandungan ammonia yang tinggi di dalam air Sungai Langat dan langkah ini menjejaskan 71 kawasan dan 60,185 rumah sejak 27 Feb.
Fasa kedua catuan air dilaksanakan berikutan kekurangan pelepasan air mentah sebanyak 200 juta liter sehari di empangan Sungai Selangor dan langkah ini menjejaskan 260 kawasan serta 413,617 rumah.
Semalam, pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor Dr Ahmad Yunus Hairi berkata kerajaan negeri Selangor akan membuat keputusan pada Rabu (esok) sama ada akan meneruskan catuan air yang dilaksanakan sejak Mac itu.
Catuan air di Kuala Lumpur dan Selangor menjejaskan lebih 2.2 juta pengguna.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed juga menyuarakan harapannya agar krisis air Selangor akan diselesaikan dengan cepat supaya ia tidak menjejaskan operasi kilang tempatan dan asing di negeri itu.

No comments:

Post a Comment