Pihak berkuasa Australia pada Rabu menolak dakwaan oleh sebuah syarikat carigali laut bahawa bahan yang ditemui di Teluk Benggala ada kaitan dengan kehilangan pesawat Penerbangan (MAS), MH370 yang hilang sejak mac lalu..
Syarikat GeoResonance yang berpangkalan di Adelaide itu dipetik oleh media Malaysia dan Siaran Televisyen 7 Australia sebagai berkata bahawa mereka telah mengesan serpihan yang berkemungkinan berasal daripada pesawat terebut kira-kira 5,000 kilometer dari kawasan pencarian sekarang.
Pada Selasa, Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata beliau sedang mengesahkanmaklumatitu namun Pusat Penyelarasan Bersama Agensi Australia (JACC) hari ini menolak kemungkinan itu.
“Lokasi MH370 seperti dakwaan GeoResonance (di Teluk Benggala) itu bukan dalam zon pencarian dan menyelamat Australia,” seorang jurucakap kepada agensi kerajaan itu memberitahu AFP.
“Operasi pencarian yang diketuai oleh Australia ini bergantung kepada data satelit dan lain-lain untuk menentukan lokasi pesawat hilang. Lokasi ditentukan menerusi laporan GeoResonance, bukannya datang dari sumber carian sedia ada.
“Pasukan siasatan bersama antarabangsa telah berpuas hati lokasi terakhir pesawat hilang adalah di bahagian selatan lengkok carian.”
Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang itu hilang selepas berlepas dari Kuala Lumpur pada 8 Mac lalu.
Berdasarkan perkiraan menerusi kelajuan, jumlah minyak dan data satelit, penyiasat percaya pesawat telah melencong dari laluan asal dan hilang di Selatan Lautan Hindi ke timur Australia, meskipun sehingga kini tiada sebarang petunjuk atau serpihan diperolehi.
Pencarian udara telahpun ditamatkan sementara pencarian dasar laut menggunakan teknologi kapal selam kawalan jauh kini digunakan untuk mencari di kawasan seluas 56,000 kilometer persegi.
GeoResonance yang pakar dalam bidang kaji selidik geofizikal untuk mencari minyak dan gas, air bawah tanah dan uranium berkata, kajiannya menggunakan imej satelit dan pesawat telah mengenal pasti elemen di dasar laut yang konsisten dengan bahan dari pesawat.
Syarikat itu berkata sehingga kini ia telah membuat kajian ke atas kawasan seluas 2,000,000 kilometer persegi.
“Kami mengenal pasti elemen kimia dan bahan dari pesawat Boeing 777…termasuk aluminium, titanium, tembaga, besi dan bahan-bahan lain,” wakil syarikat Pavel Kursa memberitahu Saluran Channel Seven.
Seorang lagi wakil syarikat itu memberitahu: “Kami tidak cuba mengatakan secara pasti ia milik MH370 tetapi ia adalah petunjuk yang kami rasa perlu disiasat.”
No comments:
Post a Comment