Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata sekiranya kerajaan tunduk dan akur dengan kritikan dan desakan pembangkang, banyak pembangunan negara tidak dapat dilaksanakan di mana pembangunan tersebut hari ini telah menjadi satu nikmat kepada rakyat di negara ini.
Ini memandangkan menurut beliau, apa saja cadangan kerajaan dalam usaha untuk membangunkan negara demi memberikan keselesaan dan kemakmuran kepada rakyat sentiasa saja dibangkang dan ditolak oleh pihak pembangkang.
“Kalau kita dengar cakap pembangkang, rakyat Pulau Pinang tidak akan mendapat jambatan kedua yang ternyata telah memberikan kemudahan kepada rakyat. Sewaktu kerajaan mencadangkan pembinaan jambatan tersebut, pembangkang tidak bersetuju. Tetapi hari ini, mereka sudah minta jambatan ketiga pula.
“Kalau kita dengar cakap pembangkang, kita tidak ada KLIA dan sehingga hari ini kita akan menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Subang. Begitu juga dengan Lynas. Ketika kita bercadangkan untuk mewujudkan Lynas, mereka membantah sedangkan dengan kewujudan Lynas, rakyat telah memperolehi peluang pekerjaan. Malah, banyak negara merasa cemburu dengan Malaysia telah mendahului dalam hal ini.
“Sikap pembangkang yang menolak pembangunan bukan baru. Contohnya seperti mana pada tahun 1956, ketika kerajaan mencadangkan untuk mewujudkan Felda, pembangkang tidak bersetuju. Mereka kata kerajaan gila kerana mahu letak orang Melayu di dalam hutan. Tetapi hari ini kita boleh lihat tiga juta warga Felda mempunyai kehidupan yang baik. Ada rumah, ada tanah, ada pekerjaan dan lebih mewah daripada mereka yang tinggal di bandar,” jelas beliau.
Razali yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata demikian ketika berucap di program Santai Ramah Mesra GST dan TPPA bersama Mahasiswa di Seri Pasifik Kuala Lumpur di sini baru-baru ini.
Jelasnya lagi, biarpun perancangan kerajaan sentiasa dikritik dan dibangkang oleh pembangkang, namun kerajaan tetap akan melaksanakannya biarpun perkara tersebut tidak popular, kerana dalam tempoh jangka masa yang akan datang, segala pembangunan yang kerajaan laksanakan itu akan dapat memberikan manfaat kepada rakyat.
“Begitu juga dengan isu perlaksanaan GST yang juga bakal memberikan satu lagi manfaat kepada para peniaga dan insyaAllah kepada para pengguna. Pembangkang mempertikaikan mengapa di peringkat awal perlaksanaan GST ini kerajaan meletakkan caj sebanyak enam peratus, sedangkan Singapura hanya meletakkan caj tiga peratus di awal perlaksanaan GST di negara tersebut.
“Jawapan saya, Singapura melaksanakan GST pada tahun 1997 di mana rantau asia ekonominya sedang hebat berkembang rancak. Hari ini Singapura sudah naik tujuh peratus. Kita tidak boleh bandingkan suasana ekonomi pada tahun itu dan sekarang. Hari ini ekonomi dunia agak lembab dan enam peratus cukai GST yang diputuskan oleh kerajaan pada awal perlaksanaan sistem ini adalah sudah cukup baik,” ujarnya.
Tetapi kata beliau lagi, sekiranya tahun depan ekonomi negara berkembang dengan baik dan pesat, rakyat boleh meminta timbangtara kerajaan untuk menurunkan peratusan GST di bawah enam peratus.
“Sama juga keadaannya, katakanlah tahun depan ekonomi dunia menjadi sangat malap, berkemungkinan peratusan cukai untuk GST akan naik ataupun sekiranya kita tak berapa bersedia untuk melaksanakan, kita akan tangguh lagi. Apa yang penting kita sudah mempunyai rang undang-undang untuk melaksanakan GST,” katanya lagi.
Justeru itu, beliau mengharapkan agar rakyat di negara ini, khususnya golongan muda untuk memahami akan hakikat sebenar berhubung pelbagai perancangan kerajaan demi untuk masa depan dan manfaat kepada keseluruhan rakyat di negara ini termasuk di dalam perlaksanaan GST.
“Saya yakin dan percaya, dengan sokongan dari semua pihak seperti pengilang, pemborong, peniaga dan pengguna, sistem percukaian GST ini akan menjadi lebih baik. Dan tidak ada perkara yang patut kita risaukan sangat seperti mana yang digembar gemburkan oleh pembangkang, semata-mata untuk membangkitkan perasaan tidak enak di kalangan rakyat dengan memberikan pelbagai persepsi negatif terhadap perancangan kerajaan yang dibuat untuk rakyat,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment