Nuffnang Ads

Tuesday 29 April 2014

Teliti Permainan Politik Pas, DAP & PKR Dalam Isu Hudud – Nakhaei

Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Nakhaei Ahmad menyifatkan hasrat Pas untuk melaksanakan hudud di Kelantan hanyalah sekadar retorik politik dalam usaha parti tersebut untuk memulihkan semula sokongan umat Islam, khususnya bangsa Melayu yang dilihat semakin menurun  mendadak semenjak parti tersebut menyertai pakatan pembangkang.
Menurut beliau, biarpun ada suara pemimpin DAP yang secara terbuka meminta Pas agar keluar dari Pakatan Pembangkang sekiranya mahu melaksanakan hudud, namun  menurut beliau ini adalah semata-mata permainan politik mereka  untuk mengaburi mata rakyat.
nakhaei-ahmad-bekas-yadim-naib-presiden-pas
“Kenyataan yang menyuruh Pas keluar dari pakatan pun hanyalah datang dari pemimpin kecil DAP saja, tidak datang dari kepimpinan tertinggi DAP. Saya yakin, DAP dan PKR tidak akan setuju sekiranya Pas keluar dari pakatan pembangkang, kerana setakat ini ketiga-tiga parti tersebut saling memerlukan demi untuk menjayakan cita-cita politik mereka untuk menjatuhkan UMNO.
“Dan Pas sendiri sebenarnya pun tahu, mereka tidak berdaya dan berkemampuan untuk melaksanakan hudud. Apa yang mereka lakukan hari ini adalah semata-mata untuk menggunakan isu hudud ini sebagai satu senjata politik bagi menarik dan memulihkan kembali sokongan orang Melayu dan umat Islam kepada Pas.
“Jika Pas benar-benar mahu melaksanakan hudud, mereka perlu serius dalam membincangkan hal ini bersama pakar-pakar perundangan, intelektual dan juga ulama bagi menjayakan hasrat mereka. Tetapi ini tidak berlaku dan apa yang berlaku hanyalah Pas mengumpul tukang-tukang sorak saja di dalam setiap ceramah mereka di sana sini berkenaan hukum hudud ini,” jelasnya di sini hari ini.
Katanya lagi, umat Islam perlu berhati-hati dan jangan terpedaya dengan retorik Pas yang seperti  biasa akan menggunakan isu hudud ini sebagai magnet untuk menarik semula sokongan orang Melayu dan umat Islam,  apabila mereka menyedari sokongan orang Melayu dan umat Islam mulai merosot dengan ketara semenjak Pas menjalinkan kerjasama bersama PKR dan DAP.
Tambah beliau, seperti yang semua sedia maklum, ketiga-ketiga parti yang bergabung di dalam pakatan pembangkang ini mempunyai satu matlamat yang sama, iaitu menjatuhkan UMNO biarpun berbeza ideologi dan pendekatan politik.
“Pas ingin jatuhkan UMNO kerana UMNO merupakan musuh tradisi mereka. PKR pula ingin jatuhkan UMNO kerana dendam peribadi manakala DAP pula, mahu menjatuhkan UMNO kerana menganggap UMNO lebih mementingkan dan memperjuangkan nasib bangsa Melayu saja di negara ini.
“Jadi, biarpun ketiga-tiga parti ini dilihat seringkali bercanggah dalam beberapa hal, namun ianya tidak akan menjejaskan persefahaman bersama antara mereka dalam memastikan matlamat utama mereka untuk menjatuhkan UMNO berjaya.
“Sebab itulah saya katakan, bahawa kenyataan Pas untuk melaksanakan hudud ini hanyalah sekadar satu  retorik politik bagi memulihkan sokongan bangsa Melayu kepada parti tersebut, sedangkan hakikatnya Pas sendiri sebenarnya tidak berhasrat pun untuk melaksanakan hukum tersebut di negara ini,” akhiri beliau.

No comments:

Post a Comment