Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo berkata, rakyat harus bangkit dan ‘mengajar’ Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di atas sikap egonya yang tidak bertempat berhubung krisis air di negeri itu.
Ujarnya, dek kerana ego dan sikap sombong Menteri Besar Selangor, kini rakyat yang terpaksa menanggung seksa akibat masalah air malah lebih merumitkan lagi apabila masalah ini mungkin akan berlarutan sehingga Ramadan akan datang.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penolakan Khalid Ibrahim terhadap tawaran Negeri Sembilan untuk menjual 20 juta gelen air kepada Selangor.
“Bagi saya, Khalid Ibrahim tidak sensitif terhadap masalah rakyat. Dia hanya pentingkan diri sendiri. Bayangkan kalau hendak mandi mayat pun terpaksa panggil bomba, apatah lagi untuk mengurus kehidupan seharian. Sudah pasti ia lebih perit.
“Kerajaan Persekutuan telah lama memberi peringatan tentang masalah air yang akan rakyat hadapi pada tahun 2014. Tetapi pembangkang degil dan mahu tunjuk kuasa. Kini lihatlah natijahnya. Sekiranya pembinaan Langat 2 dipersetujui dari dahulu, sudah pasti masalah ini tidak akan terjadi,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, akibat kesilapan rakyat memilih pemimpin kini rakyat sendiri juga yang terpaksa menanggung akibatnya.
Namun katanya itu bukanlah pokok persoalannya kerana kerajaan Selangor tidak seharusnya merosakkan kepercayaan dan amanah rakyat.
“Jadi rakyat juga perlu sedar. Pada PRU akan datang, ‘ajar’ mereka ini yang tidak tahu menghargai rakyat. Rakyat sendiri yang boleh membuatkan kerajaan negeri Selangor hilang taring. Jika kini mereka terlalu ego dan sombong maka para PRU akan datang kita lihat adakah mereka mampu untuk terus sombong.
“Semuanya terletak di tangan rakyat Selangor juga sama ada patut terus memberi sokongan kepada pentadbiran negeri sedia ada atau melakukan perubahan”, katanya.
Sebelum ini, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan menawarkan kepada kerajaan Selangor pembelian 20 juta gelen air bagi meringankan masalah rakyat namun ianya ditolah mentah-mentah oleh Khalid Ibrahim.
No comments:
Post a Comment