Perancangan untuk Pas membawa usul bagi membentangkan pelaksanaan hudud di Parlimen untuk Negeri Kelantan seakan menjadi satu polemik politik dalam pakatan pembangkang dengan sesama mereka tidak sealiran memberikan jawapan.
Bagi Setiausaha Agung Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia, (Mubarak), Datuk Abdul Rahman Ibrahim, sokongan UMNO secara terbuka terhadap hukum hudud kekal konsisten namun malangnya dalam pakatan itu sendiri wujud kenyataan yang berdolak-dalik.
“Kepimpinan UMNO sudah menegaskan bahawa parti ini tidak pernah menolak hudud dan akan menyokong cadangan bagi membawa usul pembentangannya di Parlimen namun antara Pas dan anggota pakatan iaitu DAP dan PKR tidak mempunyai kata-kata sepakat,” katanya.
Dalam hal ini, Ketua Penerangan Mubarak, Datuk Abdul Rahman Sulaiman menganggap pelbagai kenyataan berlainan yang disajikan oleh para pemimpin pakatan pembangkang berkaitan cadangan pembentangan hudud di Parlimen menunjukkan ketidakikhlasan mereka.
“Jika mereka benar-benar ikhlas untuk melaksanakan hukum hudud maka tentunya mereka akan meneruskan niat untuk pembentangannya di Parlimen tanpa mengambil kira kepada cakap-cakap negatif dan sikap kurang senang anggota DAP atau PKR sendiri.”
Terbaru, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata pakatan pembangkang memerlukan sedikit lagi masa untuk berbincang dan membuat pendirian berhubung usaha Pas membentangkan rang undang-undang persendirian di Parlimen berkaitan hudud di Kelantan.
Jawapan DAP pula berkenaan isu tersebut telah disuarakan melalui Setiausaha Organisasi Kebangsaannya, Anthony Loke Siew Fook yang meminta Pas menghormati muafakat yang telah dipersetujui secara bersama dalam pakatan atau berundur daripada ikatan terbabit sekiranya ia bertegas mahu melaksanakan hudud di Kelantan.
“Sekarang siapa yang mahu Pas persalahkan kerana UMNO tidak pernah menolak hudud malah secara jelas menyokong cadangan untuk membawa pembentangannya di Parlimen.
“Dengan apa yang berlaku sekarang ini sebenarnya secara langsung memberi ruang kepada rakyat membuat penilaian bahawa siapa sebenarnya yang menentang hukum hudud kerana selama ini pakatan pembangkang khususnya Pas menebarkan persepsi kononnya UMNO tolak hudud.”
Ujar beliau, sekiranya DAP yang lantang menentang pelaksanaan hudud maka tentunya ia boleh difahami kerana umumnya mereka bukan Islam dan tidak memahaminya namun persoalannya bagaimana pula dengan PKR yang kebanyakan anggota termasuklah pemimpinnya beragama Islam.
“Kalau sesama mereka tidak boleh diyakini oleh Pas maka janganlah pula gunakan ruang untuk menempelak UMNO sedangkan kenyataan Perdana Menteri sendiri adalah jelas bahawa kerajaan menyokong hudud, malah selama ini pun Pas hanya menggunakan hudud sebagai modal politik terutamanya apabila populariti merudum.”
Dalam hal ini beliau menyelar anggota jawatankuasa Pas pusat Khalid Samad yang seakan menyalahkan kerajaan dengan berkata seharusnya usul untuk membentangkan pelaksanaan hudud di Kelantan akan lebih mudah diterima jika dikemukakan sendiri oleh kerajaan dan bukannya hanya menyokong dari belakang.
“Yang menyuarakan untuk melaksanakan hudud ialah Pas, yang mahu membawanya ke Parlimen juga Pas, namun malangnya perancangan mereka tidak mendapat sokongan dari pakatan pembangkang dan kemudiannya mengapa pula UMNO yang nak dipersalahkan?
“Kita sendiri boleh lihat, siapa yang tentang pelaksanaan hudud dan siapa yang mahu menyokongnya, sekarang terserahlah kepada Pas sama ada mahu meneruskan agenda mereka atau tunduk kepada Dap dan PKR kerana UMNO masih terus menegakkan syiar Islam sebagaimana yang menjadi teraju dalam pentadbiran kerajaan hari ini,” tegas beliau lagi.
No comments:
Post a Comment