Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Betong, Muhammad Farid Saad membidas cadangan kerajaan Pulau Pinang di bawah pentadbiran DAP untuk menaikan surcaj air yang menurut beliau hanya akan menambahkan lagi membebankan penduduk di negeri tersebut khususnya masyarakat di luar bandar.
Menurut beliau, sepatutnya kerajaan negeri memikirkan terlebih dulu rancangan untuk membina rumah-rumah kos rendah yang sememangnya amat-amat diperlukan oleh penduduk yang berpendapatan rendah di negeri tersebut.
“Kalau nak lihat contoh kebijaksanaan pemerintahan DAP, lihatlah di Pulau Pinang. Inilah contoh kerajaan yang kononnya prihatin terhadap nasib rakyat bawahan. Dulu mereka kata nak bina rumah kos rendah, tetapi hingga kini sudah lima tahun berlalu, tiang rumah kos rendah itu pun tak nampak.
“Sedangkan duit, tanah dan juga kelulusan ada di tangan mereka. Hari ini mereka berkuasa. Kalau benar-benar kerajaan DAP mahu bantu rakyat marhain, maka sudah lama kerajaan bina rumah kos rendah untuk membantu meringankan beban rakyat.
“Tapi nampaknya, mereka lebih gemar untuk mengikut nafsu pemaju membina rumah-rumah mewah yang tidak mampu dimiliki oleh majoriti rakyat di negeri ini. Inilah kebijaksanaan DAP memerintah, yang hanya tahu mengikut nafsu mereka tetapi tidak pedulikan kehendak dan kesengsaraan rakyat kebanyakan,” tegasnya di sini hari ini.
Selain itu, beliau turut menyentuh tindakan kerajaan negeri yang bertindak merobohkan gerai-gerai peniaga di situ tanpa memberikan sebarang alternatif lain untuk mereka terus dapat menjalankan perniagaan bagi mencari sesuap nasi.
“Kalau dulu ketika BN memerintah, sekiranya kita mahu merobohkan gerai peniaga maka kita akan pastikan mereka mendapat tempat lain sebagai ganti yang sah berlesen, sebagai ganti untuk mereka meneruskan perniagaan mereka.
“Namun, kerajaan DAP hari ini hanya tahu merobohkan gerai peniaga-peniaga kecil, dan selepas itu mereka biarkan saja nasib peniaga-peniaga yang dirobohkan gerai mereka itu terumbang ambing tanpa mendapat pembelaan yang sewajarnya.
“Pemimpin DAP perlu ingat, apabila mereka merobohkan gerai peniaga kecil yang menjadi punca pendapatan mereka, secara tidak langsung mereka jugalah menjadi punca kepada berlakunya krisis rumah tangga apabila sesebuah keluarga peniaga itu tidak lagi mempunyai pendapatan yang tetap,” jelasnya lagi.
Beliau juga meminta agar kerajaan DAP lebih bersikap adil dan saksama dalam membantu peniaga-peniaga kecil di Pulau Pinang dan jangan hanya melebihkan golongan dan kaum tertentu saja.
“Mengapa di sekitar Georgetown, kawasan itu boleh kerajaan negeri gazetkan sebagai tempat perniagaan dan peniaga di sekitar kawasan itu boleh meniaga sehingga larut malam di kaki lima jalan, sedangkan ditempat lain tidak dibenarkan.
“Ini memperlihatkan sikap kerajaan negeri yang berat sebelah dan justeru itu, saya menyeru agar rakyat di Pulau Pinang agar memandangkan perkara secara serius perkara ini dan DAP bukanlah sebuah parti yang benar-benar mahu untuk membela rakyat serta tidak mampu untuk mentadbir kerajaan negeri dengan baik, adil dan saksama,” katanya.
No comments:
Post a Comment