Pakatan pembangkang khususnya DAP tidak perlu mendabik dada kononnya mengiktiraf golongan wanita muda apabila mengetengahkan calonnya Dyana Sofya Mohd Daud dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan sedangkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO telah lebih awal berbuat demikian, kata Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Mas Ermieyati Samsudin.
“DAP tak usahlah nak sembang kononnya membela kaum wanita sebab UMNO yang lebih awal iktiraf golongan terbabit dalam kepimpinan dan masih meneruskan perjuangan membela kaum terbabit,” katanya.
Jelas beliau, kaum wanita sebagai calon dalam pilihan raya tidak pernah ditolak dalam BN malahan calon wanita pertama yang mula-mula bertanding dalam pilihan raya pertama tahun 1955 adalah wakil dari BN yang sebelumnya parti perikatan iaitu Halimahton Abdul Majid.
“Dalam pilihan raya 1959 pula, Ibu Zain dan Fatimah Hashim telah bertanding di kerusi Parlimen dan menang, hinggalah sekarang bilangan calon wanita bertambah malahan saya sendiri diberi peluang sebagai wakil rakyat hasil penglibatan saya dalam politik bersama-sama Pergerakan Puteri UMNO,” katanya yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah.
Jelas beliau jika pakatan pembangkang dan DAP mengatakan mereka mengetengahkan golongan muda dan profesional maka sebenarnya laluan tersebut telah lebih awal dirintis oleh UMNO sebagaimana dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, seramai sembilan orang dipilih dari kalangan pemimpin pergerakan Puteri UMNO di seluruh negara.
“Perjuangan golongan wanita tidak pernah berhenti dan dalam UMNO Pergerakan Puteri bergerak selari dengan Pergerakan Wanita iaitu untuk mendapatkan kuota 30 peratus penglibatan wanita dalam kepimpinan.”
Tambahnya, biarpun DAP menampilkan Dyana Sofya dalam PRK, tetapi calon terbabit tidak memberi impak atau tarikan kepada golongan wanita muda yang dkhuatiri akan beralih sokongan dari Puteri UMNO kepada Dap.
“Gerak kerja Pergerakan Puteri UMNO telah diatur, kita fokus kepada matlamat kita dan kita tidak lihat kemunculan Dyana Sofya akan memberi kesan kerana Puteri UMNO ada kekuatannya sendiri.”
Dalam PRU lalu, calon pergerakan Puteri UMNO yang bertanding dalam kerusi Parlimen selain daripada Mas Ermieyati ialah Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang mewakili Papar manakala untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) ialah Asmaiza Ahmad (Chuping), Datin Norsabrina Mohd Nor (Kulim-Bandar Baharu), Salbiah Mohamed (Temenggor), Nolee Ashilin Mohd Radzi (Tualang Sekah), Nurhidayah Mohd Shahaimi (Luit) dan Norshida Ibrahim (Buloh Kasap).