Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong adalah calon terbaik untuk mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PKR) Parlimen Teluk Intan, 31 Mei ini, kata Khairy Jamaluddin.
Ketua Pemuda Umno itu berkata pengalaman luas Mah sebagai bekas penyandang kerusi itu selama dua penggal dan juga bekas timbalan menteri berupaya untuk BN mendapat semula sokongan pengundi di kawasan itu.
“Walaupun nasib tidak menyebelahi beliau (Mah) pada pilihan raya umum lepas, saya yakin bahawa dari segi pemahaman mengenai masalah tempatan di Teluk Intan, beliau adalah calon yang terbaik,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Kawalan Doping Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.
Khairy, yang juga Menteri Belia dan Sukan, yakin pengundi di kawasan itu mengenali ahli politik berusia 53 tahun itu sekali gus akan memberi sokongan kepada calon BN itu.
Ditanya mengenai DAP yang mencalonkan Dyana Sofya Mohd Daud iaitu setiausaha politik kepada Penasihat DAP Lim Kit Siang, Khairy berkata: “Sudah jelas ini adalah taktik DAP dan kami tidak bimbang. Kami rasa kami masih ada sokongan kuat khusus di Changkat Jong.”
“Kami mempunyai jentera kuat di sana dan yakin pengundi Melayu di Changkat Jong akan terus memberi keyakinan dan sokongan kepada calon BN,” katanya.
Pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Seah Leong Peng, 48, daripada DAP pada 1 Mei.
Penamaan calon ditetapkan esok manakala pengundian awal pada 27 Mei dan hari pengundian 31 Mei ini.
Pada pilihan raya umum ke-13 tahun lepas, Seah mengatasi calon BN Datuk Mah Siew Keong dengan majoriti 7,313 undi dalam pertandingan yang turut disertai calon Bebas K. Moralingam.
No comments:
Post a Comment