Nuffnang Ads

Monday, 5 May 2014

Himpunan Jalanan Pembangkang Sekadar Ulang Tayang Kerja Sia-sia

Pakatan pembangkang seakan telah kehabisan modal apabila menjadikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP) yang bakal dilaksanakan kerajaan sebagai isu politik sehinggakan menggerakkan himpunan jalanan sebagaimana yang berlangsung pada 1 Mei lalu, kata Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Haryaty Hamzah.
Jelasnya, sebelum ini pakatan pembangkang telah melakukan pelbagai cara termasuk serangan peribadi kepada pemimpin atasan dan keluarganya serta memanipulasi apa-apa sahaja dasar kerajaan dalam usaha mereka untuk memburuk-burukkan kerajaan.
“Perhimpunan membantah CBP di Dataran Merdeka Khamis digerakkan oleh pakatan pembangkang untuk bangkitkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan dengan harapan akan berlaku kekacauan dan kerajaan yang ada akan dianggap lemah namun berdasarkan kepada apa yang berlaku dapat disimpulkan bahawa himpunan tersebut adalah satu kerja sia-sia,” katanya kepada UMNO-Online.
Katanya, berdasarkan kepada maklumbalas berkaitan himpunan terbabit, boleh dikatakan rata-rata para peserta tidak tahu agenda sebenar berhimpun apatah lagi untuk memahami pelaksanaan CBP yang bakal dilakukan oleh kerajaan.
“Mereka yang hadir dalam himpunan ini kebanyakannya datang hanya untuk membantah tetapi apa makna sebenar CBP atau dasar yang bakal dilakukan oleh kerajaan tersebut tidak difahami. Kebanyakan mereka hanya terikut-ikut agenda negatif yang cuba ditaburkan pembangkang dengan memburuk-burukkan kerajaan malah dalam komen mereka berkaitan CBP ini pun banyak yang mengelirukan.”
Antara pemimpin pembangkang yang dilihat hadir dalam himpunan terbabit ialah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali, dua Naib Presiden PKR R. Sivarasa dan Nurul Izzah Anwar, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, dua Naib Presiden Pas Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub.
“Selepas habis himpunan terbabit, apa penyelesaiannya yang dibuat kerana sehingga ke hari ini dikalangan pemimpin pembangkang tidak ada seorang pun yang mengeluarkan deklarasi atau memorandum hasil daripada himpunan tersebut dan ini boleh dianggap bahawa himpunan yang mereka lakukan tidak ada beza dengan himpunan-himpunan jalanan yang telah menjadi trademark mereka.”
Tegas beliau, biar apa pun nama himpunan yang diadakan oleh pakatan pembangkang tetapi yang jelas ia adalah satu kerja sia-sia yang tidak memberi kesan sebaliknya ia lebih banyak keburukan sebagaimana berlaku pergaduhan dan mengganggu kesejahteraan awam.
“Pakatan pembangkang memanipulasikan CBP sedangkan sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, tentunya amat mustahil untuk BN menyusahkan rakyat sebagaimana dakwaan pembangkang kerana banyak bukti menunjukkan BN memberikan ruang dan peluang selain pelbagai bantuan bagi membantu meringankan beban kehidupan seharian rakyat.
“Rakyat perlu yakin dengan kepimpinan kerajaan yang ada hari ini tanpa memberi peluang kepada dakwaan salah pembangkang yang hanya tahu merosakkan kerana apa yang kerajaan lakukan untuk membantu rakyat amat banyak misalnya bantuan rakyat 1Malaysia (BR1M), kedai runcit 1Malaysia, bantuan persekolahan, rumah kos rendah, bantuan perniagaan dan macam-macam lagi.”
Dalam hal ini, beliau turut menyelar kepimpinan pembangkang yang memperguna kepercayaan rakyat dengan membawa mereka ke jalanan sedangkan sewajarnya mereka menggunakan keyakinan yang ada untuk ruang yang lebih baik.
“Sambutan hari pekerja sepatutnya dibuat dengan tindakan yang lebih bermoral dan bertanggungjawab tanpa melakukan himpunan yang akhirnya merugikan dan membawa kepada pergaduhan sesama mereka.”
Dalam himpunan terbabit, dilaporkan bahawa penganjur gagal mematuhi Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 kerana telah menimbulkan kekecohan apabila tiga jurukamera dikasari oleh sekumpulan peserta yang berpakaian serba hitam dan menutup muka dengan dua daripada mereka ditumbuk dan disepak, sementara seorang lagi terkena balingan kayu.
Dilaporkan juga pasukan Amal Pas dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) telah bergaduh sesama sendiri. 

No comments:

Post a Comment